DESCHAMPS harap anak buahnya cepat sembuh sebelum final. FOTO Reuters
DESCHAMPS harap anak buahnya cepat sembuh sebelum final. FOTO Reuters
AFP

Doha: Perancis hari ini penuh cemas menanti berita mengenai kesihatan tiga pemain utama menjelang perlawanan akhir Piala Dunia esok menentang pasukan Argentina yang diketuai oleh Lionel Messi.

Sementara kedua-dua pasukan itu bersiap sedia untuk bertarung bagi merebut hadiah terbesar bola sepak, Maghribi dan Croatia perlu bangkit untuk bertanding playoff tempat ketiga malam ini

Juara bertahan itu terpaksa mengetepikan pertahanan tengah, Raphael Varane dan Ibrahima Konate serta pemain sayap Kingsley Coman daripada sesi latihan semalam kerana mereka mengalami simptom seperti selsema.

Ketiga-tiga pemain yang tidak hadir itu mencetuskan lagi kebimbangan mengenai virus di kem Perancis selepas dua pemain - Adrien Rabiot dan Dayot Upamecano - diketepikan ketika kemenangan separuh akhir ke atas Maghribi.

Rabiot dan Upamecano kembali menjalani latihan.

Coman terlepas latihan Khamis lalu kerana 'sindrom viral ringan', jelas Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF).

Penyerang Perancis, Randal Kolo Muani juga berharap tidak terjejas dan cepat sembuh daripada penyakit itu semalam.

"Ada sedikit selesema yang berlaku tetapi tiada yang serius," katanya.

Awal minggu ini, jurulatih Perancis Didier Deschamps menjelaskan penyaman udara di Qatar mungkin penyebab utama kepada permasalahan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 2:51 PM