SCALONI (kiri) memeluk dan mencium Messi selepas Argentina menewaskan Belanda di suku akhir. FOTO AP
SCALONI (kiri) memeluk dan mencium Messi selepas Argentina menewaskan Belanda di suku akhir. FOTO AP
Reuters

Doha: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni percaya sikap tidak menyerah kalah pasukannya ketika mengatasi Belanda di suku akhir akan membantu apabila berdepan pasukan berdaya tahan, Croatia di separuh akhir.

Skuad Albiceleste itu dilihat akan mudah melangkah ke separuh akhir selepas mendahului 2-0 hingga perlawanan berbaki beberapa minit, tetapi Belanda menjaringkan dua gol lewat untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Argentina kembali bertenang untuk menjadi pasukan lebih baik pada 30 minit masa tambahan sebelum memenangi penentuan sepakan penalti.

"Saya tidak pasti sebanyak mana ujian karektor terpaksa kami lalui di Piala Dunia kali ini, kami kalah perlawanan pembukaan dengan Arab Saudi.

"Berdepan Mexico yang sukar dan hari ini, cara Belanda membuat hantaran jauh memaksa kami bertahan," kata Scaloni pada sidang media selepas perlawanan.

"Tetapi, pemain sentiasa tahu apa yang perlu mereka lakukan."

Scaloni membuat pengakuan jelas dia percaya Lionel Messi akan menjadi pemain terbaik sepanjang zaman, tetapi turut mengambil peluang memuji pemain lain dalam skuadnya.

Katanya, sikap dan keberanian mereka menyebabkan dia memiliki pemain yang mahu mengambil sepakan penalti secara sukarela untuk membolehkan mereka menang.

"Pasukan ini memiliki semangat bagaimana untuk menangani sebarang situasi pada bila-bila masa," katanya.

"Mereka terus menunjukkan muka sama dalam situasi sukar, perlawanan sukar. Apabila anda fikir ia sudah berakhir, sebenarnya tidak.

"Tetapi, pasukan ini memiliki segala-galanya, keinginan, keremajaan, maruah dan tidak mudah mengalah dalam apa jua keadaan."

Scaloni yang mengemudi Argentina merangkul trofi utama pertama dalam tempoh hampir tiga dekad apabila memenangi Copa America tahun lalu berkata, mara ke separuh akhir adalah pencapaian hebat, tetapi itu bukan penamat kepada cita-cita mereka.

"Menjadi impian kami untuk bermain semua tujuh perlawanan, tetapi kami akan terus menari dan mengambil langkah seterusnya," katanya.

"Perlawanan dengan Croatia nanti pasti menarik dan kami harap dapat melepasi halangan itu."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 1:45 AM