PASUKAN veteran PBMM dalam aksi Piala Nusantara 2024.
PASUKAN veteran PBMM dalam aksi Piala Nusantara 2024.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) terus mengukuhkan jalinan serantau apabila berjaya menganjurkan Piala Nusantara babitkan aksi empat penjuru yang berlangsung di padang Sime Darby, di Bukit Jelutong, Shah Alam minggu lalu.

Kejohanan babitkan kategori veteran itu menyaksikan penyertaan pasukan bola sepak veteran Acheh Indonesia, pasukan veteran Cina Malaysia (MCFA), pasukan veteran Sime Darby FC dan pasukan veteran PBMM.

Saingan selama tiga hari itu menyaksikan pasukan veteran Acheh Indonesia muncul juara selepas menewaskan pasukan veteran PBMM dalam aksi final dengan keputusan 4-2.

Pemenang menerima trofi, medal dan cenderamata yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Cina Malaysia, Datuk Jeffrey Low Han Chau serta disaksikan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed.

Menurut Naib Presiden PBMM, Zamri Mazleh, penganjuran Piala Nusantara yang turut mendapat kerjasama Sime Darby FC itu berjaya mencapai objektifnya.

"Selain dapat bermain bola sepak, kita juga dapat mengeratkan silaturrahim dengan pasukan-pasukan serantau seperti dari Acheh itu.

"Diharapkan penganjuran ini akan diteruskan di tahun akan datang dan menjadi acara tahunan dengan lebih banyak lagi pasukan jiran tetangga dapat di jemput nanti," kata bekas pemain Pahang di era 90an itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 1:01 PM