FAIZAL Azumu dan Rina Harun di Majlis Pelancaran Wanita Gempur Perikatan Nasional, Batang Kali. FOTO Eizairi Shamsudin
FAIZAL Azumu dan Rina Harun di Majlis Pelancaran Wanita Gempur Perikatan Nasional, Batang Kali. FOTO Eizairi Shamsudin
Fahmy A Rosli


Hulu Selangor: Masuk minggu kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Perikatan Nasional (PN) masih berteka-teki sama ada akan membentangkan manifesto atau sebaliknya.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, cuma memberi bayangan bahawa pihaknya mungkin akan membentangkan manifesto untuk DUN berkenaan bila tiba masa yang sesuai.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden BERSATU itu tidak memperincikan bila PN akan berbuat demikian tetapi hanya memberi bayangkan ia mungkin dibentangkan sebelum hari mengundi iaitu pada 11 Mei ini.

"Kita akan umumkan sebelum pilihan raya... Bila tiba masanya.

"Tetapi (tawaran) yang jelas hari ini kepada orang Kuala Kubu Bharu, kami telah pun menawarkan seorang calon anak tempatan yang berkelayakan, berkebolehan, yang faham tentang permasalahan tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Wanita Gempur PN di Bila Gerakan Utama (BGU) PN di Batang Kali, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai apa intipati manifesto yang bakal ditawarkan nanti, Ahmad Faizal berkata ia tidak boleh diuar-uarkan kerana hal berkaitan strategi adalah rahsia.

"Jadi kami masing-masing ada strategi. Pihak PN ada strategi untuk calonnya. Untuk calonnya bila nak masuk kampung Melayu, dia (calon PH) pakai tudung, selendang. Itu strategi mereka.

"Tetapi kami juga ada strategi kami yang kami akan umumkan bila kami rasakan masa itu sesuai," katanya.

Ditanya keyakinan untuk PN merampas DUN Kuala Kubu Bharu daripada Pakatan Harapan (PH), Ahmad Faizal berkata beliau percaya calon, Khairul Azhari Saut mampu melakar kejayaan.

Dengan pertambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PN, beliau yakin suara rakyat Kuala Kubu Bharu akan dibawa dengan lantang dalam DUN Selangor.

"Kami amat yakin dengan penambahan seorang lagi ADUN daripada PN yang mewakili Kuala Kubu Bharu. Suara rakyat Kuala Kubu Bharu ini akan dibawa dengan lantang di DUN Selangor.

"Kita yakin walaupun kita tidak memimpin kerajaan negeri Selangor, kami yakin kami masih dapat membawa segala permasalahan bagi rakyat Kuala Kubu Bharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 1:08 PM