Southgate (kiri), jurulatih Denmark Kasper Hjulmand (tengah) dan jurulatih Serbia, Dragan Stojkovic (kanan) bergambar selepas majlis undian Euro 2024 di  Elbphilharmonie Hamburg, Jerman. -FOTO Reuters
Southgate (kiri), jurulatih Denmark Kasper Hjulmand (tengah) dan jurulatih Serbia, Dragan Stojkovic (kanan) bergambar selepas majlis undian Euro 2024 di Elbphilharmonie Hamburg, Jerman. -FOTO Reuters
AFP

Hamburg: Pengurus England, Gareth Southgate berkata beliau yakin pasukannya mampu menangani cabaran yang datang dengan menjadi salah satu pasukan pilihan untuk memenangi Euro 2024 selepas mereka diundi dalam kumpulan selesa menjelang saingan di Jerman tahun depan.

Mereka diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Denmark, Slovenia dan Serbia pada kejohanan yang akan bermula Jun depan, di mana mereka akan berusaha untuk meraih gelaran utama yang pertama sejak Piala Dunia 1966.

Berada di kedudukan ketiga dalam ranking dunia Fifa, England kini dilihat sebagai pencabar utama untuk memenangi Euro bersama Perancis, pasukan yang mengetepikan mereka daripada Piala Dunia tahun lalu di suku akhir.

"Kami ketiga terbaik dunia. Kami berada dalam kelompok lima teratas selama lima tahun, pemain menunjukkan aksi konsisten jadi saya rasa mereka sudah biasa dengan itu," kata Southgate mengenai pasukannya yang mengungguli kumpulan dalam kempen kelayakan Euro 2024 di hadapan Itali tanpa tewas sebarang perlawanan.

"Mereka diletakkan harapan. Mereka sudah biasa bermain dalam perlawanan besar bersama-sama dan secara individu, jadi kami teruja dan semua menantikan kejohanan itu."

Di bawah Southgate, England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan tewas pada perlawanan akhir Euro 2020 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Itali, sebelum kekalahan 1-2 kepada Perancis dalam aksi lapan terakhir di Qatar tahun lalu.

Perlawanan genting itu mungkin boleh berakhir dengan cara yang berbeza sekiranya Harry Kane tidak terlepas sepakan penalti lewat perlawanan.

Bagaimanapun, terdapat keyakinan bahawa England kini lebih bersedia untuk ke Jerman pada Jun dan Julai depan memandangkan aksi semasa Kane di Bayern Munich dan Jude Bellingham di Real Madrid khususnya.

"Kami sangat gembira mempunyai pemain seperti mereka. Kami merasakan bahawa skuad ini sudah dibentuk untuk jangka masa yang lama dan England akan bersaing untuk masa depan yang sudah boleh dijangka," kata Southgate.

Kane kini sudah menjaringkan 22 gol dalam 18 perlawanan dalam semua pertandingan untuk Bayern sejak berpindah ke Jerman dari Tottenham Hotspur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 8:53 AM