SONG (kanan) yakin Cameroon mampu menyinar pada masa akan datang. FOTO Reuters
SONG (kanan) yakin Cameroon mampu menyinar pada masa akan datang. FOTO Reuters
Reuters

Lusail: Perjalanan Piala Dunia Cameroon berakhir dengan kegemilangan apabila mereka memperoleh kemenangan pertama selepas 20 tahun di kejohanan itu apabila menumpaskan Brazil 1-0 tetapi malangnya ia tidak mencukupi untuk membawa mereka ke peringkat kalah mati.

The Indomitable Lions perlu menewaskan Brazil yang kebanyakannya terdiri daripada pemain simpanan dan berharap Serbia dapat mengatasi Switzerland.

Bagaimanapun, Switzerland menang 3-2 untuk meraih tempat kedua dalam Kumpulan G di belakang Brazil sekali gus menyingkirkan Cameroon.

"Ia sangat memalukan kami terpaksa berangkat pulang sekarang namun anda harus lihat dari sudut positif. Kami harus terus bekerja keras dan mara ke depan. Saya mempercayai pemain saya," kata jurulatih, Rigobert Song.

Vincent Aboubakar menjaringkan gol melalui tandukan pada masa kecederaan sebelum diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua apabila menanggalkan jersi untuk meraihkan jaringan.

Ia menyaksikan Cameroon mencatat kemenangan pertama di Piala Dunia sejak mengalahkan Arab Saudi pada 2002.

Jaringan yang dihasilkan di Stadium Lusail menjadikan pasukan Cameroon negara Afrika pertama dapat mengalahkan Brazil di Piala Dunia.

"Saya cuba untuk mendapatkan semangat pasukan, semangat singa, yang menjadi kunci kepada pasukan Cameroon selama ini. Kami mempunyai pasukan muda dan mungkin kami tidak mempunyai masa yang cukup bersama, tetapi kami boleh menjadi pasukan yang sangat, sangat bagus," kata Song.

Penjaga gol, Devis Epassy, meninggalkan saingan dengan meraih anugerah pemain terbaik perlawanan tetapi masih ada kekecewaan walaupun menang.

"Kami boleh berbangga dengan apa yang kami lakukan kerana kami menunjukkan bahawa kami juga boleh menjadi pasukan terbaik, kami bekerja keras untuk satu sama lain, kami bekerja sangat keras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 11:51 AM