EMBOLO tidak meraikan jaringannya ke atas Cameroon. FOTO Reuters
EMBOLO tidak meraikan jaringannya ke atas Cameroon. FOTO Reuters
Reuters

Al Wakrah, Qatar: Switzerland mengatasi Cameroon, 1-0 menerusi pemain kelahiran Cameroon, Breel Embolo pada perlawanan pembukaan Kumpulan G Piala Dunia, hari ini.

Embolo yang dilahirkan di Yaounde, tetapi dibesarkan di Basel, menjaringkan gol tiga minit selepas babak kedua bersambung hasil hantaran Xherdan Shaqiri.

Bagaimanapun, penyerang berusia 25 tahun itu enggan meraikan jaringan itu pada ketika sekumpulan kecil penyokong Switzerland bersorak riang di Stadium Al Janoub.

Serbia akan menentang Brazil, pada awal pagi nanti untuk satu lagi aksi kumpulan itu.

Gol Switzerland itu hadir selepas Cameroon, yang belum pernah menang di Piala Dunia sejak 20 tahun lalu, menguasai babak pertama dan terlepas beberapa peluang keemasan.

Pasukan digelar 'Indomitable Lions' itu yang menyingkirkan Algeria pada aksi playoff ke Qatar 2022, menguasai 45 minit pertama dengan kombinasi permainan pantas, laju dan tenaga pada ketika jentera depan lawan agak tumpul.

Peluang pertama hadir pada minit ke-10 apabila Bryan Mbeumo menguji penjaga gol, Yann Sommer sebelum rembatan susulan Karl Toko Ekambi melepasi palang.

Penyerang, Eric Maxim Choupo-Moting mencemaskan Switzerland apabila membawa bola ke dalam kotak penalti sebelum dihalang Sommer.

Namun, Cameroon terus buntu mencari sasaran pada ketika Switzerland gagal memasuki kotak penalti lawannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 8:18 PM