Penyerang Serbia, Aleksandar Mitrovic meraikan jaringan berdepan Cameroon pada saingan Piala Dunia. FOTO AFP
Penyerang Serbia, Aleksandar Mitrovic meraikan jaringan berdepan Cameroon pada saingan Piala Dunia. FOTO AFP
AFP

Doha: Cameroon menghidupkan peluang dalam kelompok 16 terakhir Piala Dunia selepas bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 3-3 berdepan Serbia pada aksi Kumpulan G, sebentar tadi.

Skuad kendalian Rigobert Song hampir dikecewakan dengan jaringan daripada Strahinja Pavlovic, Sergej Milinkovic-Savic dan Aleksandar Mitrovic untuk membolehkan Serbia mendahului 3-1 pada awal babak kedua permainan.

Namun pemain gantian Vincent Aboubakar dan Eric Maxim Choupo-Moting menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan pantas 15 minit sebelum tamat permainan untuk membolehkan Cameroon dan Serbia berkongsi satu mata, dua mata di belakang pendahulu Brazil dan Switzerland.

Cameroon perlu mengharapkan Switzerland menewaskan Brazil untuk menghidupkan peluang ketika berbaki satu perlawanan dalam tangan sekali gus memastikan wakil Afrika melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 1990.

Cameroon berdepan tugas getir apabila menentang Brazil pada aksi terakhir mereka di mana mereka dilaporkan bermain tanpa penjaga gol utama, Andre Onana yang diketepikan dalam kesebelasan utama beberapa jam sebelum sepak mula berikutan masalah disiplin yang tidak dinyatakan.

Difahamkan beberapa laporan media menyatakan Onana sudah dihantar pulang dari Piala Dunia selepas berlaku salah faham dengan Song, bagaimanapun perkara itu tidak menghalang Cameroon daripada mempamerkan semangat juang tinggi berdepan Serbia yang turut berpeluang memenangi perlawanan lebih awal selepas mempamerkan permainan yang seimbang.

Serbia sementara itu berharap Brazil menewaskan Switzerland, sebaliknya peluang untuk mara dan bergantung nasib di tangan mereka bagi perlawanan terakhir saingan Kumpulan G.

"Kami mahu memperoleh semua tiga mata, kami mahu memulakan kejohanan ini dengan kemenangan jadi ia sukar dilakukan."

"Kami harus menerima keputusan ini dan melihat perlawanan Brazil nanti, dengan berharap mereka akan menang dan kami berharap akan mencatat kemenangan ke atas Switzerland." kata Marko Grujic.

Mitrovic seperti gagal beraksi baik ketika kekalahan Serbia ke atas Brazil namun penyerang Fulham itu memainkan peranan penting memberi peluang untuk pasukannya mendahului.

Mitrovic beberapa kali membuat percubaan berbahaya termasuk satu tandukan melepasi palang manakala satu rembatannya terkena tiang gol.

Dia memiliki satu lagi peluang apabila pemain Cameroon gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, namun percubaannya tersasar.

Bagaimanapun, Aboubakar yang muncul penjaring terbanyak di Piala Negara Afrika, awal tahun ini, mengubah perlawanan apabila masuk sebagai pemain gantian.

Dia menjaring gol solo menarik apabila melambungkan bola mengatasi penjaga gol untuk merapatkan jurang pada minit ke-63, sebelum mengumpan kepada Eric Maxim Choupo-Moting untuk gol penyamaan, tiga minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 10:58 PM