PEMAIN Cameroon kecewa selepas mengetahui mereka tersingkir di Piala Dunia Qatar. FOTO EPA
PEMAIN Cameroon kecewa selepas mengetahui mereka tersingkir di Piala Dunia Qatar. FOTO EPA
AFP

Doha: Vincent Aboubakar berjaya menanduk masuk gol kemenangan pada masa kecederaan dan kemudian dilayangkan kad merah tatkala Cameroon mencatat kemenangan 1-0 yang tidak dapat dilupakan ke atas pasukan pilihan, Brazil namun mereka gagal mara ke peringkat 16 akhir Piala Dunia.

Aboubakar, yang mengetuai pasukan bimbingan Rigobert Song, menanduk masuk hantaran silang pemain gantian, Jerome Ngom Mbekeli bagi memecah kebuntuan pada minit ke-92 di Stadium Lusail Doha.

Dia kemudiannya dilayangkan kad kuning kedua kerana membuka jersi bagi meraikan gol kemenangan itu.

Mereka meraih kemenangan yang penuh bermakna, iaitu pasukan pertama Afrika berjaya menewaskan Brazil di Piala Dunia.

Bagaimanapun, kemenangan Switzerland ke atas Serbia membolehkan negara berkenaan mengiringi Brazil dari Kumpulan G untuk pusingan kalah mati.

"Walaupun kami menang, kami kecewa kerana kami sedar kami boleh melakukan yang lebih baik.

"Memang memalukan untuk berhenti di sini tetapi kami hanya perlu melihat perkara positif dan kami akan terus berusaha," kata Song.

Selepas memenangi dua perlawanan awal di Qatar, Brazil berjaya muncul juara kumpulan dan mara ke peringkat 16 akhir berdepan Korea Selatan, tatkala beberapa pemain utama yang direhatkan untuk aksi pagi ini dijangka kembali beraksi.

Jurulatih, Tite membariskan skuad kedua dan hasilnya Brazil kalah buat kali pertama dalam saingan peringkat kumpulan sejak Piala Dunia 1998, di mana mereka dikalahkan Norway.

Tite melakukan sembilan pertukaran termasuk membariskan pemain berusia 39 tahun, Dani Alves, untuk membolehkannya meraih rekod pemain paling tua beraksi di peringkat antarabangsa bersama Brazil.

"Hari ini kami semua serba kekurangan, ia adalah kekalahan secara kolektif.

"Tiada siapa yang memenangi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan di Piala Dunia ini dan tiga pasukan yang memenangi dua perlawanan pertama mereka tewas pada perlawanan seterusnya. Ia menunjukkan betapa sukarnya perlawanan ini," katanya.

Walaupun membariskan skuad kedua, Brazil masih menampilkan Ederson dari Manchester City di pintu gol, Eder Militao dari Real Madrid di pertahanan tengah, Fabinho dari Liverpool di bahagian tengah, dan Gabriel Jesus dari Arsenal dibantu oleh Rodrygo di hadapan.

Mereka juga membariskan Gabriel Martinelli yang berusia 21 tahun di sebelah kiri dan iaitu pemain prospek Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 9:06 AM