Pemain Qatar, Ismaiel Mohammed (kanan) dihalang pemain Senegal pada aksi Kumpulan A. FOTO AFP
Pemain Qatar, Ismaiel Mohammed (kanan) dihalang pemain Senegal pada aksi Kumpulan A. FOTO AFP
Reuters

Doha: Tuan rumah Piala Dunia, Qatar sudahpun tersingkir dari saingan Kumpulan A namun melengkapkan kempen di Piala Dunia dengan tugas sukar berdepan Belanda di Stadium Al Bayt pada aksi terakhir, Selasa ini.

Keputusan buruk dilakar skuad tuan rumah jelas mengecewakan sekalipun sudah melakukan persediaan jitu lebih awal. Malah mereka berdepan nasib dipulaukan penyokong sendiri pada dua aksi awal peringkat kumpulan.

Qatar adalah negara pertama tersingkir pada Jumaat, tidak sampai seminggu kejohanan berlangsung selepas tewas 3-1 kepada Senegal.

Sebelum itu mencatat kekalahan 2-0 kepada Ecuador pada aksi pembukaan kejohanan Ahad lalu di mana juara Asia itu menyalahkan aksi gugup dipamerkan pemain sebagai punca prestasi buruk mereka.

Namun mereka tidak mempamerkan peningkatan pada aksi kedua sekali gus memberi bayangan kemungkinan Belanda tidak berdepan masalah besar untuk mengatasi skuad negara Teluk itu.

Qatar adalah tuan rumah kedua selepas Afrika Selatan gagal melepasi peringkat kumpulan tetapi mungkin memberi inspirasi daripada tuan rumah 2010 itu yang mengejutkan Perancis pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan sekitar 12 tahun lalu.

Belanda menjadi pilihan untuk menamatkan saingan kumpulan di kedudukan teratas di Qatar namun gagal melakukannya lebih awal sekalipun pengendalinya Louis van Gaal tetap menaruh keyakinan kemampuan skuadnya mampu melangkah jauh dalam kejohanan itu.

Van Gaal menjangkakan permulaan pasukan dengan kehadiran Memphis Depay buat pertama kali dalam kejohanan dan menagih aksi yang lebih baik daripada tonggak penyerangnya itu.

Kecederaan hamstring menyebabkan Depay disisihkan hampir dua bulan dan dia diberikan masa untuk mengembalikan tahap kecergasan dengan tampil pada separuh masa kedua dalam dua perlawanan lalu.

Jurulatih veteran itu dijangka melakukan beberapa pertukaran di bahagian tengah selain masih meletakkan kapten mereka Virgil van Dijk di bahagian pertahanan.

"Kami mempunyai beberapa pemain yang boleh beraksi di beberapa posisi berbeza." kata Van Dijk selepas seri 1-1 pada Jumaat.

"Kami mahu mengawal bola dan menguasai permainan. Kami juga mempunyai pemain bola sepak yang mampu melakukannya. Malah pemain terbaik. Kami hanya perlu membuktikan kehadiran di sini." tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 10:09 PM