PEMAIN Belanda bertepuk tangan ke arah penonton selepas seri 1-1 dengan Ecuador. FOTO AFP
PEMAIN Belanda bertepuk tangan ke arah penonton selepas seri 1-1 dengan Ecuador. FOTO AFP
AFP

Doha: Cody Gakpo sekali lagi menjaringkan gol di Piala Dunia, tetapi Belanda terlepas peluang mara awal ke pusingan kalah mati selepas seri 1-1 dengan Ecuador, hari ini, dan keputusan itu menyebabkan tuan rumah, Qatar, tersingkir dari kejohanan.

Gakpo, penyerang berbisa PSV Eindhoven yang dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United, meletakkan Belanda di depan menerusi rembatan padu pada minit keenam di Stadium Khalifa International.

Namun, berbekal sokongan kuat dan padu, Ecuador bangkit mengasak Belanda dan selayaknya menyamakan kedudukan menerusi Enner Valencia, empat minit selepas rehat.

Ia adalah gol ketiga kapten Ecuador itu di Piala Dunia kali ini, selepas menjaringkan dua gol pada perlawanan pembukaan menentang Qatar.

Hasil daripada keputusan seri ini menyebabkan Qatar yang tewas dua kali, menjadi pasukan pertama tersingkir dari kejohanan di negara sendiri.

Pada masa sama, Belanda yang muncul naib juara tiga kali, belum layak ke pusingan kalah mati dengan hanya satu mata memisahkan mereka dengan Ecuador dan Senegal, yang menewaskan Qatar 3-1 pada perlawanan awal.

Ecuador dan Senegal akan bertemu pada perlawanan terakhir Kumpulan A, Selasa depan manakala Belanda yang dibimbing Louis van Gaal Qatar untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.

Topik utama sebelum perlawanan adalah mengenai Memphis Depay apabila penyerang Barcelona itu beraksi cemerlang selepas masuk sebagai pemain gantian ketika menang 2-0 ke atas Senegal, yang juga perlawanan pertamanya dalam tempoh dua bulan selepas kecederaan paha.

Pada ketika dia sekali lagi diletakkan sebagai pemain simpanan, Gakpo, 23, yang cukup tajam di depan gol.

Selepas menjaringkan gol menerusi tandukan lewat ketika menewaskan Senegal, kali ini dia membuka jaringan awal permainan menerusi rembatan kaki kiri selepas menerima umpanan Davy Klaassen.

Namun, ia adalah percubaan tepat tunggal Belanda sebelum mereka akhirnya diasak pemain Ecuador untuk sebahagian besar perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 2:25 AM