GAKPO meneruskan rekod cemerlang dengan menjaringkan gol ketiga dalam tiga perlawanan berturut-turut. FOTO EPA
GAKPO meneruskan rekod cemerlang dengan menjaringkan gol ketiga dalam tiga perlawanan berturut-turut. FOTO EPA
AFP

Al Khor, Qatar: Cody Gakpo terus menjaringkan gol bagi membantu Belanda mara ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan selepas menang 2-0 ke atas tuan rumah, Qatar, malam ini.

Belanda yang hanya memerlukan satu mata untuk mara berada di depan pada minit ke-30 selepas Gakpo menjaringkan gol ketiga dalam tiga aksi kumpulan.

Frenkie de Jong menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-49 pada ketika Belanda mengesahkan kemaraan di Stadium Al Bayt yang suram.

Qatar yang sudah tersingkir sebelum sepak mula mengalami penghinaan apabila muncul tuan rumah pertama Piala Dunia menamatkan saingan peringkat kumpulan tanpa sebarang mata.

Anak buah Louis van Gaal menamatkan aksi dengan tujuh mata untuk menduduki tangga teratas Kumpulan A manakala Senegal mengiringi mereka ke pusingan kalah mati sebagai naib juara kumpulan selepas menewaskan Ecuador 2-1.

Skuad Oranje itu akan menentang pasukan tempat kedua Kumpulan B untuk merebut tempat ke suku akhir di Stadium International, Sabtu ini.

England ketika ini mendahului kumpulan itu dan akan menentang Wales manakala Amerika Syarikat (AS) bertemu Iran dengan keempat-empat pasukan berpeluang meneruskan kemaraan.

Belanda bermula dengan gagah dalam usaha melupakan kekecewaan gagal layak ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

Qatar mengakhiri penantian panjang Piala Dunia dengan rekod sebagai tuan rumah terburuk di tengah padang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 1:22 AM