DAVIES (kiri) mahu tebus kecewa.
DAVIES (kiri) mahu tebus kecewa.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemain pertahanan kanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Matthew Davies bertekad menebus kehampaan pada aksi final musim lalu apabila sekadar muncul naib juara Piala Malaysia dan pertembungan menentang Selangor FC, Sabtu ini menjadi medan terbaik untuk muncul juara musim ini.

Bagaimanapun, Davies yang ditemui berkata, aksi final menentang pasukan bertaraf legenda dalam saingan Piala Malaysia sememangnya menarik apatah lagi pasukan dibimbing Tan Cheng Hoe sudah pasti mahu memburu kejuaraan kali ke-34.

Apapun, dia menegaskan JDT yang mengharungi musim membanggakan apabila menjuarai Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super turut mahu merealisasikan impian menggondol empat kejuaraan semusim dan pastinya Piala Malaysia menjadi piala terakhir untuk dijulang sekali gus melakar sejarah buat skuad Harimau Selatan.

Tambah Davies, JDT yang muncul juara pada musim 2019 gagal mempertahankan piala berkenaan selepas tewas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-0 pada aksi final musim lalu.

"Sudah tentu kami mahu tebus kekecewaan apabila tewas kepada KL City FC pada final musim lalu dan ia detik sukar dilupakan tapi ia sudah berlalu dan aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil bakal menjadi medan terbaik menebus kehampaan itu.

"Ia sememangnya pahit untuk ditelan selepas tewas dan sudah tentu kami enggan `pisang berbuah dua kali' dan mahu memberi persembahan terbaik ketika menentang Selangor FC.

"Keutamaan kami adalah memberi fokus kepada persiapan rapi kerana kami mahu memantapkan lagi setiap posisi dan perancangan taktikal ampuh yang akan dilakukan ketua jurulatih (Hector Bidoglio) malah kami mahu pastikan gaya permainan lebih tersusun mampu dijelmakan nanti," katanya.

Davies yang pernah bersama Tan Cheng Hoe ketika bersama skuad Harimau Malaya mengakui bekas jurulatih kebangsaan itu memiliki sentuhan corak permainan berbeza dan cara pendekatan taktikal yang digunakan juga sukar diramal dan pemain JDT harus bersedia menghalang gaya permainan skuad Red Giants.

"Apapun tempoh 90 minit permainan pada aksi final menjadi penentu segalanya, jadi kami tidak boleh bersikap ambil mudah dan ingin menamatkan saingan musim ini dengan rekod tanpa kekalahan dan menjuarai Piala Malaysia.

"Setiap pemain ada peranan dan tanggungjawab perlu dilakukan dan saya juga mengingatkan diri sendiri supaya tidak beraksi dalam tekanan sebaliknya memberi persembahan terbaik dan berusaha mencapai kemenangan," kata Davies.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 3:09 PM