BARISAN pemain Selangor giat menjalani latihan. FOTO Selangor FC
BARISAN pemain Selangor giat menjalani latihan. FOTO Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kekecewaan gagal melangkah ke final Piala FA harus segera dilupakan, dengan pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya mengubati kedukaan itu apabila turun menentang Kuching City FC dalam saingan Liga Super, malam esok.

Jelas Cheng Hoe, aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu harus menjadi titik tolak kepada kebangkitan pasukan selepas dikecewakan Johor Darul Ta'zim (JDT) di peringkat separuh akhir Piala FA sebelum ini.

Lantas, beliau mahu pemain segera bangkit dan memberi sepenuh komitmen untuk memburu kemenangan sekali gus mengukuhkan kedudukan di kelompok atasan Liga Super.

"Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahu melihat pemain kekal positif dan berdasarkan persiapan yang kita lakukan sejak beberapa hari lalu, kita sudah buat persediaan yang baik.

"Sudah tentu kita kecewa dengan kekalahan sebelum ini tetapi tumpuan harus diberikan pada saingan Liga Super dalam usaha mendaki carta liga dan kita perlu menang ke atas Kuching City nanti," katanya.

Ketika ini, skuad Red Giants berada di tangga kedua liga dengan mengumpul 31 mata selepas 14 aksi setakat ini.

Sementara itu, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu akui gembira dengan kehadiran penyerang import baharu, Richmond Boakye untuk melengkapkan kuota import pasukan itu.

Walaupun pada awalnya mahu memburu tonggak pertahanan, namun keperluan pasukan itu ketika ini adalah untuk menambah sengat di jentera hadapan pasukan.

"Memang kita dah berbincang dengan pihak pengurusan untuk dapatkan seorang pemain import pada jendela perpindahan (jendela perpindahan kedua) kali ini, dan Boakye menjadi pilihan kami tetapi dia masih perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri.

"Secara peribadi, kita turut meneliti pertahanan import tetapi jentera serangan perlu diperkuat terlebih dahulu.

"Ia kerana andai kita dapat jaringkan gol, sudah pasti benteng akan lebih yakin sepanjang perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 3:53 PM