BRENDAN Gan giat menjalani latihan. FOTO FB SELANGOR FC
BRENDAN Gan giat menjalani latihan. FOTO FB SELANGOR FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Red Giants tidak akan menyerah kalah, bahkan sedia bangkit di halaman sendiri bagi memadamkan defisit dua gol milik Terengganu FC, malam esok.

Menurut pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe, kelebihan dua gol dimiliki skuad Penyu yang menumpaskan mereka pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Gong Badak sebelum ini masih belum berakhir.

Katanya, anak buahnya mempunyai kekuatan penuh bagi menghadapi aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam esok selepas kesemua pemain cukup cergas dan bebas daripada kecederaan.

"Memang kita tahu perlawanan pertama memang kita kalah dua gol dan satu agregat yang agak besar. Bukan mudah untuk pasukan, tetapi pemain harus yakin dan fokus pada perlawanan itu.

"Pemain kena bersedia dengan apa jua situasi dan pergi habis-habisan untuk meraih gol awal pada minit awal perlawanan.

"Namun, kita tidak boleh leka dengan serangan balas yang dipamerkan Terengganu kerana mereka cukup berbahaya," kata bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe yang berasal dari Alor Setar, Kedah mengharapkan jentera serangan tampil lebih ampuh bagi merobek gawang lawan.

"Kita tahu Terengganu hadir dengan keyakinan tinggi selepas berjaya menewaskan Central Coast Mariners dalam Piala AFC baru-baru ini.

"Apa yang penting kita kena memanfaatkan setiap peluang yang ada dan apa yang penting keyakinan pasukan untuk menguasai perlawanan.

"Kita lihat pada perlawanan pertama kita gagal menguasai perlawanan dan bahagian pertahanan kita juga agak goyah. Namun, saya yakin aksi pasukan pada perlawanan kedua akan berbeza," katanya.

Musim lalu, Selangor mara ke final Piala Malaysia namun tumbang kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali gus meranapkan misi menjulang trofi itu buat kali ke-34.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 7:11 PM