PEMAIN Negeri Sembilan CNasrullah Hanif  (tiga, kiri) menanduk bola ke gawang Selangor pada perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia, pasukan Selangor menetang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini. FOTO Bernama
PEMAIN Negeri Sembilan CNasrullah Hanif (tiga, kiri) menanduk bola ke gawang Selangor pada perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia, pasukan Selangor menetang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selangor FC melangkah ke saingan separuh akhir selepas seri 2-2 dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Skuad Red Giants mara dengan agregat 4-2, hasil kemenangan 2-0, dalam aksi suku akhir pertama Ahad lalu.

Tampil dengan hanya dua pemain import selepas Herold Mark Goulon yang digantung perlawanan dan Gustavo Dos Santos yang cedera, Negeri Sembilan terpaksa mengharapkan gandingan Matheus Alves dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak untuk mengemudi jentera serangan.

Ketiadaan tonggak utama, Goulon jelas bahagian pertahanan tuan rumah itu tampak longgar sekali gus memberi ruang buat jentera serangan Selangor mencipta banyak peluang jaringan.

Pada minit ketujuh, gawang Negeri Sembilan hampir bocor, apabila percubaan Nor Hakim Hassan sedikit melepasi palang walaupun dia hanya berdepan dengan penjaga gol, Ahmah Syihan Hazmi Mohamed.

Namun dua minit kemudian, Caion De Souza meledak gol pertama Selangor selepas bola gagal dikeluarkan dengan baik oleh pertahanan tuan rumah sebelum dia merembat deras ke dalam gawang.

Jaringan itu tidak melunturkan semangat skuad Hobin Jang Hobin dan melalui serangan balas, mereka memperoleh sepakan penalti selepas Che Rashid Che Halim dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-24.

Alves yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan Khairulazhan Mohd Khalid untuk terikat 1-1.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak lama apabila pelawat menambah jaringan kedua menerusi Yazan Mahmoud pada minit ke-44 menerusi sepakan padu dari luar kotak penalti.

Negeri Sembilan kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-45 menerusi gol jaringan Zaquan Adha susulan keadaan kelam kabut dalam kotak penalti selepas sepakan bola mati yang diambil Khuzaimi Piee.

Bersambung babak kedua, kedua-kedua berusaha meningkatkan intensiti permainan dalam usaha menambah gol.

Namun usaha itu tidak berhasil apabila perlawanan berkesudahan 2-2.

Bagaimanapun Selangor melangkah ke peringkat empat pasukan selepas menang dengan agregat 4-2, susulan kemenangan yang mereka capai pada aksi suku akhir pertama, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 11:28 PM