PEMAIN Negeri Sembilan, Che Rashid Che Halim (tengah) ketika beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO AZRUL EDHAM
PEMAIN Negeri Sembilan, Che Rashid Che Halim (tengah) ketika beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan tetap bangga dengan pencapaian pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini meskipun pasukannya gagal melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Baginya, mara sehingga peringkat suku akhir Piala Malaysia dan menamatkan saingan di tangga keempat Liga Super 2022, boleh dianggap memadai jika mengambil kira kekuatan pasukan dan bajet yang disediakan pada musim ini.

"Saya tetap bangga dengan pencapaian pasukan Negeri Sembilan musim ini terutama Mohamad Zaquan Adha (Abdul Radzak) selaku kapten yang telah berjaya membimbing rakan sepasukan.

"Pencapaian kita boleh disifatkan sebagai memadai kerana bajet yang rendah disediakan pihak pengurusan kelab dan kita tidak dapat membawa masuk pemain lebih berkualiti, tetapi pemain yang ada ini sudah menunjukkan tahap prestasi yang membanggakan.

"Walaupun berstatus pasukan baharu dalam Liga Super, tapi kita berjaya menamatkan saingan di tempat keempat iaitu suatu kedudukan yang boleh dibanggakan," katanya selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Negeri Sembilan berjaya mengikat Selangor 2-2, namun Red Giants melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia menerusi kemenangan agregat 4-2 selepas mereka menang 2-0 pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad lalu.

Selangor terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Caion pada minit kesembilan dan gol kedua oleh Yazan Mahmoud pada minit ke-44.

Skuad Hobin Jang Hobin pula mendapatkan jaringan menerusi Matheus Alves menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 dan gol kedua dijaringkan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-45.

Mengenai kedudukan beliau selaku pengendali pasukan itu musim depan, Devan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan kelab untuk menentukan.

"Pemilihan pemain dan pegawai pasukan bagi menghadapi musim depan terletak kepada pihak pengurusan kelab.

"Namun, saya berharap pihak pengurusan dapat membuat persiapan awal termasuk dalam soal pemilihan pemain supaya kita dapat bentuk pasukan yang lebih baik, mantap dan mampu meningkatkan lagi pencapaian daripada apa yang kita capai pada musim ini," katanya.

Untuk rekod, Negeri Sembilan bersaing dalam Liga Super musim ini selepas mereka menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 12:47 PM