AKSI sengit pertembungan Selangor FC dan NSFC di Stadium MBPJ minggu lalu. FOTO FB NSFC
AKSI sengit pertembungan Selangor FC dan NSFC di Stadium MBPJ minggu lalu. FOTO FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) berazam untuk bangkit dengan menjadikan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC, sebagai perlawanan akhir, Sabtu ini.

Skuad Hobin Jang Hobin bakal melayani kunjungan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dengan ketinggalan dua jaringan susulan kekalahan 2-0, pada suku akhir pertama di Petaling Jaya, Ahad lalu.

Pemain pertahanan kanan Negeri Sembilan, A Namathevan mengakui betapa dia dan rakan sepasukan tiada pilihan lain kecuali perlu menggandakan usaha sehabis baik sepanjang tempoh 90 minit perlawanan itu nanti.

Menurutnya, pasukannya perlu berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya dua gol bagi menyamai defisit yang dimiliki skuad Gergasi Merah itu sepanjang tempoh permainan berkenaan.

"Kami anggap ia perlawanan akhir bagi pasukan musim ini dan kami tiada pilihan kecuali memberikan sepenuh komitmen dalam perlawanan itu nanti untuk pastikan dapat menjaringkan gol bagi membawa pasukan ke peringkat separuh akhir.

"Memang ia suatu perlawanan yang dijangka sukar tapi itu yang kami perlu terjemahkan di gelanggang sendiri.

"Kami tidak boleh memikirkan tentang ketiadaan pemain utama (Herold) Mark Goulon, yang dilayangkan kad merah pada aksi suku akhir pertama tempohari, sebaliknya fokus kepada mendapatkan kemenangan yang baik," katanya.

Namathevan berkata sebagai pemain pertahanan, dia bersama rakan lain di bahagian itu akan bekerja keras menyekat setiap serangan pemain Selangor untuk memastikan gawang pasukan tidak bolos.

Bekas pemain Selangor berusia 25 tahun itu berkata, komitmen dan semangat rakan-rakan sepasukan ketika ini kekal tinggi untuk membantu pasukan meraih kemenangan.

Dia juga mengakui betapa mereka perlu tampil dengan persembahan lebih agresif bagi mengimbangi jentera serangan Selangor yang dilihat sudah meningkat sejak mendapat bimbingan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

"Apapun, saya yakin dan percaya dengan strategi yang bakal diketengahkan ketua jurulatih K Devan, untuk memastikan kami mampu mengimbangi kekuatan jentera Selangor dan seterusnya mencatat keputusan positif di tempat sendiri," katanya.

Namathevan berharap impiannya untuk membantu Negeri Sembilan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia tercapai pada musim pertama dengan pasukan itu.

"Memang impian saya untuk menjulang nama Negeri Sembilan sebaik menyarung jersi pasukan musim ini," kata pemain berpengalaman yang beraksi bersama Selangor sejak 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 9:05 PM