PEDRO antara tiga pemain beraksi bersama kelab di Brazil yang disenaraikan bersama skuad kebangsaan negara itu. FOTO AFP
PEDRO antara tiga pemain beraksi bersama kelab di Brazil yang disenaraikan bersama skuad kebangsaan negara itu. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Pepatah ada menyatakan, sesuatu yang baik biasanya hadir berpasangan dan bagi penyerang Brazil, Pedro, ia ada benarnya.

Malam tadi, dia melamar kekasih lamanya selepas namanya disenaraikan bersama skuad Brazil untuk ke Piala Dunia di Qatar.

"Saya langsung tidak menjangkakannya. Saya tidak tahu apa yang hendak diucapkan," kata tunangnya, Fernanda Nogueira kepada Fla TV, rangkaian rasmi untuk Flamengo, iaitu kelab di Rio de Janeiro yang diwakili penyerang berusia 25 tahun itu.

"Ini adalah hari yang sangat istimewa dan saya menjadikannya lebih istimewa," kata Pedro sambil tersenyum.

"Ini akan menjadi Piala Dunia pertama saya, impian sejak kecil kini bakal menjadi kenyataan. Ini adalah hari yang tidak mungkin dilupakan," katanya.

Menerusi video disiarkan Fla TV, pemain itu melutut bersama kotak mengandungi cincin pertunangan. Dia kemudian melamar bakal isterinya tidak lama selepas jurulatih Brazil, Adenor Leonardo Bacchi (dikenali sebagai Tite) mengumumkan skuad ke Piala Dunia.

Pedro antara beberapa muka baru dalam skuad kebangsaan yang beraksi di kelab Brazil (tiga daripada 26 pemain) dan dia mengatasi Roberto Firmino iaitu penyerang di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.

Bintang Brazil, Neymar, yang ditemani anaknya dan menonton menerusi televisyen, ketawa apabila mendengar namanya diumumkan jurulatih pada sidang media itu.

Dia kemudian memuatnaik detik itu di Instagram sebagai meraikan penampilan ketiga di Piala Dunia.

Brazil yang menjadi antara skuad pilihan akan memburu gelaran keenam di Qatar dan akan memulakan misi menentang Serbia pada 24 November.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 8:25 AM