NEYMAR masih menjadi harapan Brazil. FOTO AFP
NEYMAR masih menjadi harapan Brazil. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Jurulatih Brazil, Fernando Diniz menyenaraikan Neymar dan Vinicius Junior untuk perlawanan pembukaan kempen kelayakan Piala Dunia 2026, tetapi mengenepikan Lucas Paqueta, yang menghadapi siasatan pertaruhan sukan di Britain.

Masih dihantui penyingkiran kepada Croatia pada suku akhir Piala Dunia 2022, juara lima kali Brazil akan melancarkan kempen kelayakan menentang Bolivia pada 8 September di Belem, di utara Brazil, kemudian menentang Peru pada 12 September di Lima.

Ia adalah pengumuman skuad pertama untuk pemain Brazil di bawah Diniz, yang mengambil alih tugas daripada Tite susulan prestasi mengecewakan Selecao di Qatar.

Terdapat keraguan sama ada penyerang bintang Neymar, 31, akan terus bersama pasukan kebangsaan, selepas kecewa dengan kesedihan tahun lalu dan sibuk dengan perpindahannya yang baru diumumkan dari Paris Saint Germain ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal.

"Saya bercakap dengannya baru-baru ini, dan dia sangat bersedia dan gembira untuk peluang itu," kata Diniz pada sidang akhbar di Rio de Janeiro.

"Sukar untuk mencari pemain yang setaraf dengannya. Dia adalah bakat yang sangat jarang berlaku."

Bagaimanapun, Diniz berkata beliau meninggalkan Paqueta daripada senarai 23 pemainnya selepas berita melaporkan bahawa pemain tengah West Ham itu, yang dilaporkan sedang berunding untuk berpindah ke Manchester City, sedang disiasat oleh Persatuan Bola Sepak England kerana kemungkinan melanggar peraturan pertaruhan sukan.

"Ia bukan mengenai pertuduhan itu, sebaliknya melindunginya, membenarkan Paqueta menyelesaikan perkara berkenaan," katanya.

Pintu 'Selecao' akan terbuka untuknya sebaik sahaja dia dapat menyelesaikan keadaan dengan baik.

Diniz, yang juga melatih pasukan Rio de Janeiro, Fluminense, akan melakukan kedua-dua tugas sehingga Carlo Ancelotti dari Itali menamatkan kontraknya dengan Real Madrid pada Jun 2024 dan mengambil alih tampuk kendalian Selecao, menurut ketua Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), Ednaldo Rodrigues.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 2:11 PM