TITE menunjukkan senarai pemain Brazil ke Piala Dunia Qatar 2022. FOTO EPA
TITE menunjukkan senarai pemain Brazil ke Piala Dunia Qatar 2022. FOTO EPA
AFP

Rio de Janeiro: Penyerang Liverpool, Roberto Firmino tiada dalam senarai skuad Brazil ke Piala Dunia yang diumumkan jurulatih, Tite, ketika pasukan diketuai Neymar dan pemain veteran berusia 39 tahun, Dani Alves itu memburu gelaran keenam.

Alves yang juga bekas pemain Juventus dan Paris Saint-Germain dan kini bersama kelab Mexico, Pumas sejak Julai lalu, disenaraikan dalam pasukan walaupun tidak bermain satu perlawanan dalam tempoh dua bulan.

Dia ialah pemain tertua pernah dinamakan untuk skuad Piala Dunia Brazil dan akan terbabit dalam edisi ketiganya dalam kejohanan itu.

Sementara itu, Firmino yang kembali beraksi cemerlang buat Liverpool musim ini gagal mendapat tempat ke Qatar berbanding penyerang lain seperti bintang Arsenal, Gabriel Jesus, perancang Flamengo, Pedro dan pemain Tottenham, Richarlison yang baharu pulih daripada kecederaan.

Bagaimanapun, ada beberapa kejutan dalam senarai Tite.

Skuad 'Selecao' itu akan diketuai Neymar untuk menamatkan kemarau juara lima kali Piala Dunia itu selama 20 tahun.

Penyerang berusia 30 tahun itu melalui musim yang hebat bersama PSG dengan 15 gol dan 12 bantuan gol dalam 19 perlawanan.

Bermain dalam Piala Dunia ketiganya, dia diharapkan dapat menutup mulut pengkritik yang mendakwanya selalu menjatuhkan diri selain gagal menyerlah ketika diperlukan.

Di bahagian serangan, dia akan dibantu Vinicius Junior dari Real Madrid dan bintang Arsenal, Jesus yang memberikan pasukan pilihan itu kekuatan sebenar.

Brazil tidak tewas di pusingan kelayakan ke Piala Dunia apabila hanya dibolosi lima kali daripada tujuh perlawanan dan menduduki tangga teratas zon Amerika Selatan.

SENARAI PEMAIN BRAZIL

Penjaga gol: Alisson (Liverpool/ENG), Ederson (Manchester City/ENG), Weverton (Palmeiras)

Pemain pertahanan: Dani Alves (Pumas/MEX), Danilo (Juventus/ITA), Alex Sandro (Juventus/ITA), Alex Telles (Sevilla/SEP), Bremer (Juventus/ITA), Marquinhos (Paris Saint-Germain/PER), Thiago Silva (Chelsea/ENG), Eder Militao (Real Madrid/SEP)

Pemain tengah: Casemiro (Manchester United/ENG), Fabinho (Liverpool/ENG), Fred (Manchester United/ENG), Everton Ribeiro (Flamengo), Bruno Guimaraes (Newcastle/ENG), Lucas Paqueta (West Ham/ENG)

Penyerang: Neymar (Paris Saint-Germain/PER), Vinicius Junior (Real Madrid/SEP), Richarlison (Tottenham/ENG), Raphinha (Barcelona/SEP), Rodrygo (Real Madrid/SEP), Antony (Manchester United/ENG), Gabriel Jesus (Arsenal/ENG), Gabriel Martinelli (Arsenal/ENG), Pedro (Flamengo)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 8:41 AM