NSFC yakin bangkit di Paroi. FOTO FB NSFC
NSFC yakin bangkit di Paroi. FOTO FB NSFC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelonggaran benteng pertahanan nyata membawa padah buat Negeri Sembilan FC (NSFC) yang melepaskan dua gol tanpa balas pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Jelas pengendali NSFC, K Devan, kekalahan 0-2 di tangan Selangor FC berpunca daripada kegagalan bentengnya menyerap asakan tuan rumah ditambah layangan kad merah terhadap tonggak pertahanan, Herold Goulon menambah derita pasukannya.

"Kita lebih banyak bertahan (babak pertama) dan kita tak dapat mengawal bola dan menyimpan bola dan kurang agresif. Separuh masa kedua selepas saya mengenal pasti masalah ini, saya sudah bagi tahu pemain dan kita bermula baik, sehinggalah kita dikenakan penalti dan kad merah…itu adalah detik permulaan (kekalahan)," katanya.

Bagaimanapun, Devan tetap percaya pemainnya akan mampu bangkit di depan penyokong sendiri biarpun ketinggalan dengan dua gol.

"Saya yakin dengan kebolehan pasukan saya dan kita akan berikan terbaik di Paroi, sudah tentu satu perlawanan yang sukar untuk pasukan Selangor. Saya yakin (menang)," katanya.

Dalam aksi itu, Herlison Caion dan Aliff Haiqal mencetak nama selaku penjaring dengan masing-masing meledak pada minit 56 dan 91 untuk meletakkan Selangor selangkah ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 9:28 PM