PEMAIN Selangor FC, Muhammad Azrin Afiq   diasak  pemain Harini FT, Muhammad Nuzul Iman. FOTO Bernama
PEMAIN Selangor FC, Muhammad Azrin Afiq diasak pemain Harini FT, Muhammad Nuzul Iman. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Harini FT, M Gopalan akui aksi anak buahnya berdepan Selangor FC dalam pusingan pertama Piala FA ibarat langit dan bumi, di mana lawan yang beraksi di Liga Super jelas berada pada kelas tersendiri.

Katanya, kekalahan besar 0-6 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu diambil positif dan akan digunakan bagi memperbaiki kelemahan ketara terutama di bahagian pertahanan.

Ujarnya lagi, Harini FT yang bermain dalam Liga M3 tidak kecewa dengan kekalahan itu dan akan bangkit lebih baik selepas ini.

"Sebagai jurulatih, pasukan saya ini sudah tunjuk yang terbaik dari segi serangan dan bertahan. Cuma kita kalah dengan fizikal Selangor, di mana nampak pertahanan kita ini susah nak cabar mereka..

"Dari segi bola sepak, saya mengajar pemain-pemain saya tidak kisah menentang Selangor yang guna pemain import atau tak pakai, kita ada strategi sendiri.

"Terima kasih kepada Selangor...mereka tunjukkan kelemahan kita dalam membuat keputusan dan ketika bertahan. Kita ambil ia sebagai latihan kami," katanya.

Enam gol Selangor disumbangkan Herlison Caion yang berjaya mencipta hatrik pada minit ke-17, 63 dan 67.

Manakala seorang lagi tonggak import, Hyuri Henrique, Safuwan Baharudin dan Syahir Bashah turut mencipta nama selaku penjaring dengan masing-masing meledak minit ke-29, 42 dan 46.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 9:38 PM