K DEVAN. -FOTO Arkib
K DEVAN. -FOTO Arkib
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semangat melawan dan tidak pernah kenal erti putus asa adalah ramuan kejayaan skuad Negeri Sembilan FC yang tampil bak 'pahlawan' apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk membenam Selangor FC malam tadi.

Dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, skuad kendalian K Devan menghadiahkan mimpi ngeri buat tuan rumah apabila menang 3-2, dengan ketiga-tiga gol itu terhasil di babak kedua.

Menurut Devan, beliau memuji semangat tinggi diperagakan oleh anak buahnya meskipun menyedari bukan mudah untuk menundukkan Selangor di depan penyokong Red Giants.

"Kita datang ke sini kita nak dapatkan satu mata, di mana ia bukan aksi yang mudah, dan satu aksi yang sukar dengan Selangor.

"Kami datang ke sini tidak mahu tewas dan ketinggalan 2-0 di babak pertama sudah tentunya beri kesan kepada pasukan, tapi sebaliknya berlaku di pada babak kedua apabila pemain bermula baik dan Selangor pula perlahan rentak di bahagian serangan.

"Gol pertama kami adalah kunci kebangkitan sebelum gol kedua dan ketiga. Kita pasukan yang memiliki semangat melawan tinggi, di mana kita berjuang selama 90 minit dan itulah hasilnya yang dipacu semangat berjuang setiap pemain," katanya sejurus tamat aksi itu.

Gol Negeri Sembilan disumbangkan Gustavo Dos Santos yang meledak dua gol di minit 66 dan 80 sebelum pemain gantian, Sean Selvaraj muncul wira dengan jaringan kemenangan di minit 88.

Sebelum itu, Selangor di depan hasil gol Herlison Caion (m-8) dan Yazan Al-Arab (m-30).

Hasil kejayaan mengutip tiga mata itu, Hobin Jang Hobin terus kekal di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 26 mata selepas 14 aksi setakat ini.

Selepas ini, Negeri Sembilan akan menanti kunjungan Penang FC di Paroi yang dijadual berlangsung Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 2:18 PM