JAMAL Nasir menyampaikan hadian kepada pemain pada kejohanan Piala Supermokh 2022. FOTO MOHD RAFI MAMAT
JAMAL Nasir menyampaikan hadian kepada pemain pada kejohanan Piala Supermokh 2022. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pencapaian empat pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di kejohanan Piala Supermokh 2022 yang berakhir kelmarin, berada pada tahap memuaskan.

Walaupun gagal menjulang kejuaraan kategori bawah 13 dan 14 tahun, prestasi dipamerkan pemain membuktikan program pembangunan AMD kini sudah mula berhasil.

Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pada saingan Piala Supermokh kali ini prestasi terbaik dilakukan skuad AMD Panthers bawah 13 tahun yang muncul naib johan selepas menewaskan pasukan Ibrahim Fikri 2-1 pada perlawanan akhir.

Katanya, pasukan AMD Panthers bawah 14 tahun berpuas hati di tangga ke empat selepas gagal ke perlawanan akhir hanya dengan perbezaan satu jaringan dengan NK Osijek.

"Saya melihat corak permainan dipamerkan pemain AMD sepanjang Piala Supermokh 2022 boleh dibanggakan walaupun kekurangan dari segi saiz badan dan ketinggian.

"Saya berpendapat kekurangan saiz badan dan ketinggian tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kita menyerah kalah sebelum berjuang di tengah padang," katanya.

Jamal Nasir yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, penubuhan AMD kini terbukti memberi hasil boleh dibanggakan dan pada masa akan datang lebih ramai lagi pemain berbakat dapat dilahirkan untuk mewakili kelab, negeri dan negara.

Beliau berkata, di AMD kini terdapat kira-kira 300 pemain berumur 13, 14, 15, 16 serta 17 tahun dan mereka mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman dalam dan luar negara.

"Pengalaman luas beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Juzaili Samion, Mohd Fadzli Saari dan Norhafiz Zamani Misbah yang melatih pemain muda mampu menghasilkan barisan pemain berkualiti.

"Saya berharap AMD dapat dinaik taraf dalam usaha menampung lebih ramai lagi pemain bawah umur untuk menimba pengalaman serta kemahiran kerana negara memerlukan ramai pemain berbakat untuk membawa cabaran pasukan kelab dan negeri serta negara ke pentas antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 8:34 PM