Pemain AMD Panthers (kiri) Muhamad Asmadi Muhamad Raflee cuba melepasi dua pertahanan Buriram pada perlawanan akhir bawah 13 tahun Piala Supermokh 2022. FOTO MOHD RAFI  MAMAT
Pemain AMD Panthers (kiri) Muhamad Asmadi Muhamad Raflee cuba melepasi dua pertahanan Buriram pada perlawanan akhir bawah 13 tahun Piala Supermokh 2022. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Gambang: Impian pasukan skuad Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Panthers bawah 13 tahun untuk menjulang kejuaraan Piala Supermokh 2022 tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada Buriram United di padang AMD Gambang, hari ini.

Gol tunggal wakil Thailand itu dihasilkan oleh penyerang lincah mereka, Phanuwit Jeyakom pada minit ke 9 selepas mudah memperdayakan pertahanan wakil tuan rumah untuk menggegarkan gawang.

Ketua jurulatih AMD Panthers, Abd Aziz Ismail berkata walaupun tewas dia tetap berpuas hati selepas berjaya melangkah ke pentas akhir hari ini.

Tegasnya, pemain telah memberi persembahan terbaik sepanjang kejohanan apabila muncul juara kumpulan A dengan mencatat semua tiga perlawanan dan menghasilkan 12 gol meninggalkan Buriram United di tangga kedua.

Katanya, pada pertemuan di peringkat kumpulan AMD Panthers berjaya menewaskan Buriram United namun pada pertemuan akhir hari ini kita terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0-1.

"Pada perlawanan hari ini jentera serangan tidak banyak dapat melakukan percubaan ke gawang lawan, beberapa peluang yang terhidang berjaya dipatahkan pertahanan lawan.

"Pemain saya telah berusaha sedaya upaya untuk menembusi kubu lawan bagi mendapatkan gol, kesungguhan yang ditunjukkan begitu membanggakan. Ternyata nasib tidak menyebelahi kita apabila terpaksa tunduk dalam keadaan yang begitu kecewa," katanya, di sini hari ini.

Abd Aziz berkata, faktor saiz badan dan ketinggian pemain turut menjejaskan persembahan pemain AMD Panthers, kekurangan itu memudahkan pemain lawan mengawal setiap kali serangan dilakukan.

Sementara itu jurulatih Sonchai Menkhunthod berkata, tentangan sengit diberikan pasukan tuan rumah memberi tekanan kepada barisan pemain Buriram United sepanjang perlawanan akhir hari ini.

"Kita agak gentar apabila bertemu dengan pasukan AMD Panthers kerana pada perlawanan peringkat kumpulan Buriram United tewas kepada AMD Panthers.

"Saya beranggapan episod sama akan berulang pada perlawanan akhir hari ini, namun berlaku sebaliknya. Kita berjaya menewaskan tuan rumah 1-0," katanya yang berbangga dengan kesungguhan dipamerkan barisan pemain Buriram United.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 8:30 PM