PEMAIN  AMD  Panthers mengasak gawang  HwaSeong. FOTO Mohd Rafi Mamat
PEMAIN AMD Panthers mengasak gawang HwaSeong. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Permulaan menarik dilakar pasukan Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Panthers Bawah 13 tahun apabila mencatat kemenangan selesa 5-1 ke atas wakil Korea HwaSeong pada saingan Piala Supermokh 2022 di AMD Gambang, hari ini.

Pasukan tuan rumah bimbingan Abd Aziz Ismail dilihat garang apabila menghasilkan gol pertama seawal minit ke-3 menerusi penyerang lincah, Muhammad Nabil Ikhwan Mohd Zaidi.

Kesungguhan pemain menambah jaringan seolah tidak terhenti sepanjang permainan namun usaha mereka tidak berhasil sehingga tamat babak pertama kedudukan terikat 1-0.
Bermula babak kedua skuad AMD Panthers dikejutkan dengan jaringan menarik pemain lawan, Bae Yul yang merembat kencang menewaskan penjaga gol Andrian Muslim Sufian pada minit ke 50.

Kebangkitan pasukan AMD Panthers bermula pada minit ke-52 menerusi jaringan Mohamad Iman Danish Mohd Shukor, diikuti gol Muhamad Asmadi Muhamad Raflee (m60), Nabil Ikhwan (m63) dan Muhammad Alif Ashraf Mohd Abd Rahman (m69).

Bagi Abd Aziz, kemenangan pertama hari ini dapat meningkatkan semangat pemain untuk mengharungi perlawanan seterusnya selepas ini.

Menurutnya, pada babak pertama jentera serangan banyak terlepas peluang menghasilkan gol manakala penjaga gol pasukan HwaSeong tangkas menafikan setiap percubaan.

"Bagaimanapun, secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan kemenangan hari ini sekali gus dapat menyuntik semangat dan keyakinan diri kepada barisan pemain muda.

"Kita akan turun bertemu Buriram UTD esok dan diharapkan kejayaan kedua dapat diraih," katanya yang berharap jentera serangan tidak banyak melakukan kesilapan.

Beliau menambah, kejayaan pasukan AMD Panthers diharap menjadi pembakar semangat kepada pasukan Bawah 12 dan 14 negara untuk turut sama melakar kejayaan.

Keputusan perlawanan hari ini

AMD Panthers 5 -1 HwaSeong B-13

NK Osijek 7-0 Chonburi B-14

AMD Cougars 1-2 Asiana Soccer School B-12

Lion City Sailors 0-1 NFDP B-12

Asiop FC 2-2 NFDP B-12

Jadual perlawanan esok

Bawah 14 tahun

RF Young Champs lwn AMD Panthers - 9 pg

NK Osijek lwn Fagiano Okayama - 9 pg

Hwa Seong lw AMD Cougars - 4 ptg

Paris Saint Germain lwn Cerezo Osaka - 4 ptg

Bawah 13 tahun

Hwa Seong lwn NFDP Regional - 9 pg

Asiana Soccer School lwn Ibrahim Fikri - 9 pg

Buriram UTD lwn AMD Panthers - 4 ptg

PVF Academy lwn AMD Cougars- 4 ptg

Bawah 12 tahun

NFDP B wn NFDP C - 9 pg

Kim Young Hoo lwn Lion City Sailors- 9 pg

Asiop Fc 2 lwn NFDP B - 4 ptg

NFDP A lwn Kim Young Hoo - 4 ptg

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 6:02 PM