PEMAIN pasukan NK Osijek meraikan kejayaan selepas muncul juara bawah 14 tahun Piala Supermokh 2022 selepas menewaskan Paris Saint Germain (PSG) 2-1 di padang Arena AMD Gambang. FOTO Mohd Rafi Mamat
PEMAIN pasukan NK Osijek meraikan kejayaan selepas muncul juara bawah 14 tahun Piala Supermokh 2022 selepas menewaskan Paris Saint Germain (PSG) 2-1 di padang Arena AMD Gambang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan NK Osijek dinobatkan selaku juara Piala Supermokh 2022 bawah 14 tahun selepas menewaskan Paris Saint Germain (PSG) 2-1 di padang Arena AMD Gambang, semalam.

Seawal minit ke-8 NK Osijek dikejutkan dengan gol pertama lawan yang dihadiahkan sepakan pelnati selepas ketua pasukan PSG, Ayari Adam dijatuhkan dalam kotak penalti dan penyerang, Jangeal Mathis Laurent tidak berhadapan masalah meletakkan bola ke dalam gawang NK Osijek.

Selepas itu permainan kedua pasukan menjadi semakin rancak apabila sentiasa mencipta gerakan merbahaya namun dengan kecekapan penjaga gol sahaja menafikan jaringan yang dicari.

Usaha gigih jentera serangan NK Osijek akhirnya berhasil apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-18 menerusi gol tandukan Gagulic Matej yang berjaya menewaskan penjaga gol PSG, Vignaud Arthur Louis.

Permainan bertambah rancak dengan sokongan peminat kedua pasukan dan tamat babak pertama kedudukan terikat 1-1.

Aksi selepas rehat tidak kurang menarik apabila kedua pasukan serangan bertali arus dalam usaha menghasilkan jaringan bagi memburu kejuaraan dipentas antarabangsa.

Gol pemusnah akhirnya muncul pada minit ke-64 apabila pemain NK Osijek, Jaman Drazen merembat kencang kesebelah kanan gawang PSG seterusnya gagal disekat penjaga gol, Vignaud Arthur. Permainan bertambah menarik walaupun hujan mula hingga tamat perlawanan.

Jurulatih NK Osijek, Zitnjak Matej berkata perlawanan hari ini (semalam) begitu mendebarkan terutama apabila berhadapan pasukan PSG yang mempunyai rekod cemerlang sepanjang kejohanan dengan mencatat kemenangan semua empat perlawanan kumpulan B dan menghasilkan 15 jaringan.

"Rasa rendah diri pemain saya berlaku pada awal perlawanan hingga mengundang gol awal lawan pada minit ke 8, walaupun mampu mengawal permainan namun usaha menghasilkan jaringan agak sukar.

"Selepas hampir separuh perjalanan perlawanan pemain mula mendapat rentak sebenar seterusnya usaha memburu gol terhasil pada minit ke 18 dan gol kemenangan muncul dipenghujung babak kedua.

"Saya amat gembira dengan pencapaian yang tidak disangka hari ini (semalam) terutama selepas melalui laluan berliku dalam kumpulan A bersama pasukan tuan rumah, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Panthers," katanya, di sini semalam.

Tambahnya lagi, pujian harus diberikan kepada pemain apabila dapat kembali bangkit selepas ketinggalan seawal perlawanan, pemain seolah melupakan seketika imej pasukan PSG yang dicanang bakal muncul juara dan antara kelab terbaik dunia.

Zitnjak berkata, pertandingan bola sepak Piala Supermokh antara kejohanan bawah umur terbaik dunia yang dapat memberi pendedahan kepada pemain muda selain menilai kemajuan program pembangunan sukan nombor satu dunia itu diperingkat kelab dan negara.

"Saya berharap pertandingan bola sepak Piala Supermokh dapat terus diadakan setiap tahun dalam usaha merancakan lagi sukan bola sepak diperingkat bawah umur yang bertaraf antarabangsa," katanya yang berjanji akan terus datang ke Pahang sekiranya pasukan NK Osijek di jemput.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 11:41 AM