Firdaus Hashim

Pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Panthers bawah 14 (B-14) terus mengejar kedudukan kelab pendahulu liga Kumpulan A, NK Osijek selepas berjaya melakar kemenangan kedua hasil kemampuan membenam pasukan Chonburi FC 4-0 pada perlawanan Piala Supermokh 2022 yang berlangsung di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, di Gambang, semalam.

AMD Panthers yang beraksi kurang satu perlawanan daripada NK Osijek, kini mengumpul enam mata berbanding NK Osijek yang cemerlang ketiga-tiga perlawanan dengan mengumpul sembilan mata.

Gol pasukan AMD Panthers dijaringkan oleh pemain Muhammad Ashrif Hazee seawal minit ke-13, kemudiannya di susuli dengan jaringan Izzudin Afif Nazarudin pada minit ke-35.

Tiga minit selepas itu, AMD Panthers menambah jaringan melalui pemain berjersi nombor 35, Putera Aqil Taufiq sebelum Izzudin sekali lagi melengkapkan kemenangan AMD Panthers melalui jaringan pada minit ke-42.

Penolong pengendali AMD Panthers B-14, Norhafiz Zamani Misbah nyata gembira dengan kemenangan itu dan menyifatkannya sebagai hasil usaha semua pihak terutama barisan pemain yang menampilkan aksi bertenaga sepanjang tempoh perlawanan berlangsung.

"Alhamdulillah, kami mendapat kemenangan kedua. Pujian kepada semua pemain kerana memberikan yang terbaik biarpun agak keletihan menghadapi jadual perlawanan padat.

"Kita akan bertemu dengan pasukan yang lebih bagus lepas ini (NK Osijek), oleh yang demikian kami akan mempersiapkan pasukan dengan sebaiknya dan memantau tahap kecergasan pemain setelah dua perlawanan ini berlalu," kata bekas ketua pasukan Harimau Malaya itu.

Selain kecemerlangan AMD Panthers B-14 itu, wakil negara yang lain turut melakar kemenangan apabila pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) B-12 menewaskan Lion City Sailors dari Singapura dengan 4-1.

Manakala dalam kategori B-13 pula, AMD Panthers ter- lalu ampuh buat NFDP Regional dengan meraih kemenangan besar 5-0 diikuti AMD Cougars menumbangkan pasukan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 6:28 PM