PEMAIN AMD Panthers, Izzuddin Afif Nazarudin (kiri) cuba melepasi pertahanan Fagiano Okayama pada saingan Piala Supermokh 2022. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PEMAIN AMD Panthers, Izzuddin Afif Nazarudin (kiri) cuba melepasi pertahanan Fagiano Okayama pada saingan Piala Supermokh 2022. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Gambang: Menduduki tangga kedua kumpulan A dengan mencatat tiga kemenangan dan satu seri membuktikan prestasi Pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Panthers bawah 14 tahun berada pada kedudukan yang boleh dibanggakan pada saingan Piala Supermokh 2022 walaupun gagal melangkah ke pentas akhir.

Lebih menarik lagi sejumlah 17 gol telah berjaya dihasilkan oleh jentera serangan sementara hanya tiga gol sahaja gawang pasukan negara ditembusi lawan.

Walaupun pencapaian pasukan bawah 14 tahun ini sedikit tersasar namun prestasi yang dipamerkan barisan pemain muda terap masih boleh dibanggakan.

Jurulatih AMD Panthers, Ekhsan Bukharee Badarul berkata, perbezaan jumlah gol dengan pasukan NK Osijek menyebabkan impian ke perlawanan akhir gagal dilakukan.

"Kita berjaya menghasilkan 17 gol sementara NK Osijek mengumpul 18 gol, perbezaan berkenaan memadam terus impian untuk melakukan yang terbaik pada pertandingan kali ini.

"Walaupun kita gagal melangkah ke perlawanan akhir namun saya tetap memuji semangat dan kesungguhan dipamerkan barisan pemain AMD Panthers sepanjang kejohanan, cuma nasib tidak menyebelahi kita.

"Pemain telah buktikan keupayaan mereka pada setiap perlawanan sehingga ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan semalam, saya tidak pernah menyalahkan pemain kerana kegagalan pada kejohanan kali ini," katanya, di sini.

Beliau menambah, faktor saiz badan selain rendah menyebabkan pemain negara sukar untuk memberi saingan pada pemain luar negara namun kekurangan itu tidak mencetuskan kekalahan pada pasukan.

Ekhsan Bukharee berkata, kegagalan ke pentas akhir tidak bermakna pasukan AMD Panthers gagal, sebaliknya kejayaan memberi saingan kepada pasukan antarabangsa suatu yang harus dibanggakan.

Tambahnya, barisan pemain muda yang diturunkan pada saingan Piala Supermokh 2022 mempunyai masa depan cerah untuk berjaya dalam arena bola sepat tempatan.

Lebih banyak pendedahan di peringkat tempatan dan antarabangsa perlu diberikan kepada mereka.

"Lebih banyak pertandingan bawah umur perlu dianjurkan dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain muda yang berbakat untuk mewakili pasukan negara di pentas antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 4:48 PM