AKSI De Bruyne (kanan) ketika menerima cabaran pemain Leicester City. FOTO EPA
AKSI De Bruyne (kanan) ketika menerima cabaran pemain Leicester City. FOTO EPA
AFP

Leicester: Pep Guardiola berkata Kevin De Bruyne kembali kepada prestasi terbaiknya selepas sepakan percuma pemain tengah Manchester City itu mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Leicester, semalam sekali gus menyaksikan juara bertahan itu memimpin takhta Liga Perdana.

Skuad bimbingan Guardiola beraksi tanpa Erling Haaland di Stadium King Power selepas pemain Norway itu belum pulih daripada kecederaan buku lali.

Selepas mengalami penurunan prestasi, De Bruyne kembali berbisa dengan menjaringkan gol yang menakjubkan pada separuh masa kedua.

"Dia sudah kembali. Dia tidak bermain dengan baik pada perlawanan terakhir tetapi dia menakjubkan," katanya.

Kemenangan pertama City di tempat lawan dalam empat perlawanan terakhir menyaksikan mereka satu mata mengatasi Arsenal di tempat kedua, yang menjadi tuan rumah kepada Nottingham Forest pada perlawanan hari ini.

Sejak kekalahan mereka di Liverpool, City sudah meraih kemenangan liga berturut-turut dalam usaha mereka untuk memenangi kejuaraan liga kali kelima dalam tempoh enam tahun.

"Ia adalah kemenangan besar bagi kami. Bertemu Leicester di tempat lawan sentiasa sukar.

"Satu keputusan yang baik apabila anda menang. Sekarang kami perlu menuggu apa yang akan dilakukan oleh pasukan lain," kata Guardiola.

Haaland sudah meledak 22 gol dalam semua pertandingan setakat ini sejak menyertai City dari Borussia Dortmund.

"Dia mengalami kecederaan ligamen dan bertambah baik. Dia tidak akan bermain menentang Sevilla (dalam Liga Juara-Juara minggu depan) kerana kami sudah layak," kata Guardiola mengenai Haaland.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 8:50 AM