MAGALHAES (kiri) alami kecederaan. FOTO AFP
MAGALHAES (kiri) alami kecederaan. FOTO AFP
Agensi

London: Arsenal mungkin kehilangan khidmat Gabriel Magalhaes selepas dia dilihat terhencut-hencut ketika menuju ke bas pasukan.

Magalhaes masuk sebagai pemain gantian ketika Arsenal tewas 0-2 kepada PSV namun kini mungkin terlepas untuk beraksi menentang Nottingham Forest esok sekiranya mengalami kecederaan teruk.

Bintang Brazil itu yang baru-baru ini menandatangani kontrak baharu di Arsenal, menjadi tonggak penting skuad bimbingan Mikel Arteta pada musim ini.

Dia sudah beraksi sebanyak 15 perlawanan di semua pertandingan dan masih belum terlepas beraksi dalam perlawanan Liga Perdana.

Kehadirannya bersama William Saliba di bahagian pertahanan membantu Arsenal mendahului dua mata ke atas Manchester City di tangga teratas liga.

Selepas perlawanan menentang PSV, Magalhaes dirakam terhencut-hencut dengan reaksi kesakitan dan pergerakannya agak terbatas.

Arsenal dilihat mempamer prestasi agak merundum selepas kemenangan 3-2 ke atas Liverpool.

Kemenangan 1-0 ke atas Leeds menunjukkan persembahan mereka di bawah prestasi sebenar sebelum menewaskan PSV dengan meyakinkan di Emirates.

Bagaimanapun, hujung minggu lalu skuad bimbingan Arteta sekadar seri 1-1 menentang Southampton.

Ben White adalah calon yang paling terbaik untuk menggantikan Magalhaes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 9:02 AM