ARTETA berjaya membuktikan Liverpool tidak sehebat mana. FOTO AFP
ARTETA berjaya membuktikan Liverpool tidak sehebat mana. FOTO AFP
Agensi

London: Arsenal yang akan berkunjung ke Liverpool awal pagi Selasa ini memburu kemenangan kali ketiga ke atas penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

The Gunners berjaya mengalahkan pasukan bimbingan Jurgen Klopp di Utara London selepas kelab berkenaan baru saja ditabalkan sebagai juara EPL Julai lalu, sebelum mencatat kemenangan kedua bulan lalu dalam saingan Perisai Komuniti.

Berdasarkan fakta, mereka sekarang ini cuba untuk mengejar kemenangan hatrik ke atas Liverpool, tatkala Mikel Arteta dilihat membimbing Arsenal dengan jayanya.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu dilantik menjadi pengurus Disember lalu selepas Unai Emery disingkirkan dan berjaya meraih trofi utama dalam penampilan pertama boleh dianggap sebagai satu petanda positif.

Pihak pengurusan Arsenal membuat keputusan yang tepat untuk membawa semula bekas pemain tengah itu sebagai pengurus.

Secara keseluruhan Arteta menggunakan pemain yang sama ketika di bawah kendalian Emery kecuali dua pemain baru di bawa masuk Willian dan Gabriel Magalhaes.

Bagaimanapun, sebelum Arteta mendapatkan pasangan pemain Brazil itu, beliau sudah mendapat membentuk gandingan mantap walaupun skuad yang sama bergelut kekurangan motivasi.

Salah seorang individu yang mengakui sangat terkesan dengan percaturan Arteta adalah legenda Liverpool, Jamie Carragher.

Carragher berpendapat bahawa bekas kelabnya sudah tidak sabar untuk berdepan wakil London itu.

"Tidak dapat disangkalkan lagi Arsenal sedang kembali ke era kegemilangan di bawah Arteta. Saya rasa beliau pengurus yang cemerlang. Saya sangat kagum dengan cara beliau menguruskan pasukan.

"Apa yang dilakukannya dengan skuad yang pernah diwakilinya adalah sangat hebat. Untuk menjuarai Piala FA, mengalahkan Liverpool beberapa kali dalam saingan liga dan Perisai Komuniti, membuatkan Liverpool tidak sabar untuk bertembung dengan mereka sekali lagi," kata Carragher.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 4:00 PM