ARSENAL terdesak perlu catatkan kemenangan. FOTO EPA
ARSENAL terdesak perlu catatkan kemenangan. FOTO EPA
Agensi

London: Arsenal kembali beraksi pada awal pagi Rabu ini apabila menanti kunjungan Chelsea ke Stadium Emirates.

Dominasi kelab utara London itu di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir selepas tidak dapat menggunakan khidmat William Saliba yang mengalami kecederaan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Skuad bimbingan Mikel Arteta hanya mengutip tiga mata daripada empat perlawanan terakhir liga mereka sekali gus menyaksikan Manchester City merampas kedudukan teratas liga dan kurang satu perlawanan berbanding Arsenal.

Bagaimanapun masih ada harapan bagi anak buah Arteta yang terdesak untuk memenangi kesemua lima baki perlawanan liga mereka sambil berharap City gagal meraih mata penuh.

Saliba dilihat terhencut-hencut ketika Arsenal tersingkir dari Liga Europa menentang Sporting CP, yang memaksa bintang muda itu dikeluarkan.

Pemain pertahanan itu sudah terlepas beberapa perlawanan penting dan tidak dapat beraksi sekali lagi ketika menentang Manchester City.

Masih belum pasti sama ada Saliba akan diturunkan apabila bertemu Chelsea namun dia dilihat kurang menjalani sesi latihan sekali gus memungkinkan pemain itu tidak beraksi.

"Mengenai William (Saliba), kami perlu menunggu sedikit masa lagi. Dia tidak pulih secepat yang kami harapkan.

"Ia agak rumit dan kami mahu pastikan apabila kami membenarkannya beraksi, dia bersedia untuk menggalas tanggungjawab. Ketika ini, dia belum dapat melakukannya," katanya.

Selain Saliba, antara pemain lain yang belum cergas sepenuhnya termasuklah Granit Xhaka, Takehiro Tomiyasu serta Mohamed Elneny.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 1:35 PM