RONALDO (kiri) memanaskan badan, tetapi tidak dimasukkan sebagai pemain gantian. FOTO Reuters
RONALDO (kiri) memanaskan badan, tetapi tidak dimasukkan sebagai pemain gantian. FOTO Reuters
Reuters

London: Bekas penjaga gol Manchester United, Peter Schmeichel berkata, dia kecewa dengan sikap Cristiano Ronaldo ketika mereka menang 2-0 ke atas Tottenham Hotspur, awal pagi hari ini.

Malah, legenda kelab itu mendakwa pemain Portugal itu kini menjadi seolah-olah gangguan di Old Trafford.

Ronaldo berjalan ke terowong ketika perlawanan berbaki beberapa minit selepas diletakkan di bangku simpanan oleh pengurus, Erik ten Hag yang menyatakan akan berunding dengan pemain itu, hari ini.

Ia adalah aspek negatif pada malam United beraksi cemerlang untuk menewaskan anak buah Antonio Conte.

"(Cristiano Ronaldo) meninggalkan pasukan seperti itu akan menghasilkan segala-galanya yang kami tidak mahu ketika ini," kata Schmeichel kepada BBC Radio 5 Live.

"Dia patut tahu tindakan itu akan menjadi tajuk utama.

"Ini kali pertama saya menyatakan sangat kecewa dengannya. Selalunya, saya akan menyokongnya dan saya faham situasinya.

"Isunya di sini, dia adalah pemain ternama, penampilan besar. Sama ada ia berkaitan membenarkannya bermain atau meninggalkan pasukan? Saya tidak tahu."

Ronaldo, 37, yang menjaringkan 103 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama United, hanya dua kali diturunkan dalam aksi liga musim ini, tetapi kerap diturunkan dalam aksi Liga Europa.

Selepas permulaan mengecewakan, Ten Hag berjaya membina United dan Schmeichel berkata, fokus sepatutnya terarah kepada perkembangan pasukan itu.

United kini di tempat kelima liga, lapan mata di belakang pendahulu, Arsenal tetapi hanya satu mata di belakang pasukan tempat keempat, Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 10:08 PM