AMARTEY (dua dari kiri) berjaya meledak gol kemenangan Leicester. FOTO EPA
AMARTEY (dua dari kiri) berjaya meledak gol kemenangan Leicester. FOTO EPA
AFP

London: Leicester City melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Brighton, manakala peluang Arsenal memburu kelompok empat terbaik dilihat semakin pudar selepas hanya seri 1-1 dengan Burnley.

Selepas bergelut dengan masalah kecederaan beberapa pemain utama, Leicester dilihat agak keletihan sejak beberapa minggu lalu dan ketinggalan selepas 10 minit perlawanan berlangsung apabila Adam Lallana menjaringkan gol pertamanya bersama Brighton.

The Seagulls mendominasi perlawanan dan hampir menambah gol kedua namun percubaan Lallana terkena tiang, manakala jaringan Neal Maupay pula tidak dikira disebabkan ofsaid.

Leicester yang kelihatan tidak bertenaga dalam tempoh 45 minit kembali bangkit untuk mencatat kemenangan pertama selepas empat perlawanan.

Hantaran cantik Youri Tielemans membolehkan Kelechi Iheanacho meledak gol penyamaan pada minit ke-62.

Sepakan penjuru Marc Albrighton pada minit ke-88 ditanduk masuk Daniel Amartey untuk gol kemenangan Leicester.

Leicester sekarang ini dibezakan tujuh mata dengan pasukan tempat kelima, Everton ketika mereka mensasarkan untuk tidak melakukan kesilapan seperti musim lalu apabila tersingkir dari kelompok empat terbaik di hujung musim.

Sementara itu, harapan Arsenal untuk kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh lima tahun dilihat semakin pudar apabila melepaskan dua mata berharga ketika beraksi di Turf Moor.

Pasukan bimbingan Mikel Arteta itu kekal di tangga ke-10 dan dibezakan sembilan mata dengan kelompok empat terbaik.

XHAKA sekali lagi melakukan kesilapan ketika Arsenal berdepan Burnley. FOTO EPA
XHAKA sekali lagi melakukan kesilapan ketika Arsenal berdepan Burnley. FOTO EPA

Arsenal bermula dengan baik selepas Pierre Emerick Aubameyang menghukum kelemahan benteng pertahanan Burnley selepas meledak gol pembukaan seawal minit keenam.

Bagaimanapun, Granit Xhaka yang sebelum ini diperintah keluar padang ketika kedua-dua pasukan bertemu Disember lalu, sekali lagi melakukan kesilapan untuk membolehkan Burnley meraih gol penyamaan.

Usahanya untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya terkena badan Chris Wood sebelum ia melantun masuk ke dalam gawang tatkala aksi separuh masa pertama enam minit lagi bakal berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 9:19 AM