MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mahu aksi final Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membabitkan Kuala Lumpur City (KL City) dan kelab Oman, Al Seeb, malam esok, dilewatkan bagi membolehkan penyokong menunaikan solat Maghrib.

Menerusi hantaran di laman sosial miliknya, beliau menyatakan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk tindakan susulan.

Beliau berkata, pihaknya meminta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk menyediakan ruangan solat bagi kemudahan penonton selain turut memberi pendedahan praktikal mudah untuk mengambil wuduk.

"Saya meminta pihak Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) untuk membawa kemudahan surau bergerak mereka.

"Jadi, harapan saya semua penonton muslim boleh tunai solat dengan tenang. Saya doakan kemenangan KL City dengan penuh bergaya.

"Dah solat, mesti jeritan GOOOOL bakal bergema di pihak KL City dengan lebih semangat hendaknya,"katanya.

Skuad The City Boys hanya tinggal satu saja halangan untuk menjulang Piala AFC apabila melayan Al Seeb di final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Namun, waktu perlawanan dijadualkan pada 7 malam mengundang rasa kurang senang berikutan azan Maghrib berkumandang pada 7.01 malam.

Rata-rata peminat berpendapat pemilihan waktu ditetapkan AFC kurang wajar disebabkan tidak mesra terhadap waktu umat Islam mengerjakan solat fardu.

Malah, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad menjelaskan pihaknya terpaksa akur dengan keputusan berkaitan waktu sepak mula final yang sudah ditetapkan AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 7:38 PM