RONALDO akhirnya dihukum Ten Hag.
RONALDO akhirnya dihukum Ten Hag.
AFP

London: Masa depan Cristiano Ronaldo di Manchester United semakin kelam dan terus menjadi tanda tanya selepas dia digugurkan daripada skuad yang akan menentang Chelsea Ahad ini susulan sikap buruknya ketika menentang Tottenham.

Ronaldo bergegas ke terowong di Old Trafford sebelum tamat perlawanan ketika United menewaskan Tottenham 2-0 semalam.

Bintang berusia 37 tahun itu dilaporkan memberitahu pengurus Erik ten Hag dia tidak mahu dimasukkan lewat sebagai pemain gantian.

Ten Hag berkata selepas tamat perlawanan dia akan menguruskan isu itu dan Ronaldo kelihatan memandu ke pusat latihan United di Carrington sebelum hukuman diumumkan.

Ia bukan kali pertama Ronaldo mempamerkan sikap buruknya dalam skuad Ten Hag dan pengurus itu akhirnya hilang sabar dan menggugurkan terus bintang Portugal itu daripada skuadnya.

"Cristiano Ronaldo tidak akan bersama skuad Manchester United menentang Chelsea dan pemain lain akan memberi tumpuan untuk persiapan perlawanan itu," menurut United dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Ronaldo dalam respon balasnya mendakwa insiden ketika menentang Tottenham berlaku ketika dirinya dalam keadaan tertekan ketika itu.

Dalam Instagramnya, Ronaldo berjanji untuk mendapatkan semula tempatnya.

Dipercayai keputusan Ten Hag mengetepikan Ronaldo daripada skuad mendapat sokongan penuh daripada hierarki United.

United perlu menunggu sehingga jendela perpindahan dibuka semula pada 1 Januari sebelum boleh menjual Ronaldo yang gaji lumayannya menjadi penghalang utama kepada pembeli berpotensi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 10:38 AM