CRISTIANO Ronaldo. FOTO Reuters
CRISTIANO Ronaldo. FOTO Reuters
AFP

London: Cristiano Ronaldo tidak akan bersama Manchester United untuk jelajah pramusim di Thailand dan Australia selepas penyerang Portugal itu diberi cuti tambahan untuk menangani masalah keluarga.

Ronaldo tidak hadir pada Isnin lalu apabila bos United yang baharu, Erik ten Hag mengalu-alukan kehadiran pemain antarabangsa kelab itu ke Carrington untuk permulaan latihan pramusim.

Penyerang itu memberitahu kelab bahawa dia sedang menangani masalah keluarga dan tidak akan hadir pada Khamis.

Akibatnya, Ronaldo tidak akan menjadi sebahagian daripada kumpulan yang terbang ke Bangkok, hari ini dan tiada kepastian bila dia akan kembali bersama United yang akan menentang Liverpool di Thailand sebelum terbang ke Australia.

Hujung minggu lalu, pemain berusia 37 tahun itu sudah menyatakan hasrat untuk meninggalkan Old Trafford selepas tidak berpuas hati dengan prestasi buruk mereka sejak kembali tahun lalu.

United gagal beraksi di Liga Juara-Juara selepas menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana musim lalu.

Bagaimanapun, United menegaskan Ronaldo akan menjadi sebahagian daripada skuad musim ini ketika Chelsea dan Napoli dilaporkan berminat mendapatkannya.

"Cristiano Ronaldo tidak akan bersama Manchester United yang dijadualkan berlepas untuk jelajah pramusim kami di Thailand dan Australia pada Jumaat.

"Dia diberikan cuti tambahan untuk menangani isu keluarga.

"Cristiano masih kekal kontrak dengan Manchester United untuk semusim lagi dan dia tidak dijual," kata jurucakap United kepada Manchester Evening News.

Ronaldo menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan musim lalu dan dinobatkan sebagai pemain terbaik kelab itu, tetapi penantian United untuk meraih trofi pertama sejak 2017 berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 6:40 AM