OSMERA mengakui banyak ‘kerja’ perlu dilakukan dalam tempoh tiga hari bagi memperbaiki kelemahan pasukan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
OSMERA mengakui banyak ‘kerja’ perlu dilakukan dalam tempoh tiga hari bagi memperbaiki kelemahan pasukan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemenangan skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara terhadap Palestin tidak bermakna pengendali pasukan Osmera Omaro boleh 'goyang kaki' sebelum mengharungi perlawanan seterusnya menentang Guam Rabu ini.

Hal ini kerana, Osmera mengakui banyak 'kerja' perlu dilakukan dalam tempoh tiga hari bagi memperbaiki kelemahan pasukan terutama membabitkan barisan pertahanan.

Beliau berkata, walaupun gembira dengan kemenangan besar menewaskan Palestin namun beliau bimbang jika pemain masih meneruskan kesalahan sama bakal memerangkap mereka pada perlawanan seterusnya kelak.

Mengakui skuad 'ubi muda' negara tampil pada kempen kelayakan Piala Asia B-17 2023 selaku pasukan underdog, beliau berkata hasil daripada kemenangan menumpaskan Palestin menyebabkan mereka mula mendapat perhatian lawan.

"Saya puji barisan pemain apabila berjaya menumpaskan Palestin Cuma banyak perkara perlu diperbaiki terutamanya kesalahan yang sering diulangi barisan anak buah.

"Sudah tentu kita akan buat analisis dan cuba perbaiki masalah itu. Ini bukan perkara baru cuma mereka kerap mengulangi kesalahan sama sekali gus perlu diperbetulkan segera," katanya.

Pada aksi pertama kempen kelayakan Piala Asia B-17 2023 menyaksikan Malaysi bermula langkah kanan apabila membelasah Palestin 4-0.

Pada aksi sulung Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia itu menyaksikan ,Anjasmirza Saharudin dan Faris Danish Mohd Asrul mencetak nama sebagai penjaring gol negara.

Turut menyumbang gol adalah Arami Wafiy Mohamad Zakimi dan Zainurhakimi Zain Azraii sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara/ Malaysia akan meneruskan saingan kelayakan berdepan Guam pada Rabu ini sebelum menentang Emiriah Arab Bersatu (7 Oktober) dan tuan rumah, Indonesia (9 Oktober).

Menurut format pertandingan, 10 juara kumpulan dan hanya lima naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia B-17 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 3:15 PM