SKUAD B-16 negara ketika meraikan kejayaan layak beraksi di Piala Asia B-17 tahun depan. FOTO FAM
SKUAD B-16 negara ketika meraikan kejayaan layak beraksi di Piala Asia B-17 tahun depan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara bercadang untuk melakukan persiapan awal menjelang kempen Piala Asia B-17 yang dijadual berlangsung pada pertengahan tahun depan.

Pengurus pasukan, Christopher Raj berkata, pihaknya merancang untuk berlatih seawal bulan Januari bagi menghadapi saingan itu yang turut menawarkan empat tiket ke Piala Dunia B-17 di Peru hujung tahun depan.

Katanya, perancangan awal itu bagi memastikan skuad kendalian Osmera Omaro tampil mantap dan bukannya sekadar untuk melengkapkan jadual.

"Misi pertama kita untuk layak ke pentas Piala Asia B-17 sudah tercapai dan objektif seterusnya sudah pasti mempersiapkan pasukan bagi mengharungi kejohanan itu kerana kita tidak mahu sekadar melengkapkan jadual.

"Namun, jika mahu memberi saingan kompetitif, saya lihat persiapan perlu dilakukan seawal Januari dengan tempoh tiga ke empat bulan kerana saingan dijangka bermula pada Mei.

"Berdasarkan perancangan awal, saya mahu barisan pemain mendapat pendedahan antarabangsa terbaik dengan mengatur aksi bertemu pasukan seperti Iran, Yemen, Korea Selatan, Australia atau Tajikistan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada pusingan kelayakan di Indonesia, skuad Harimau Muda negara muncul juara Kumpulan B selepas menundukkan Indonesia, UAE dan Palestin sebelum diikat Guam.

Mengulas mengenai peluang untuk menjejakkan kaki ke pentas Piala Dunia B-17, Christopher anggap sasaran itu terlalu awal untuk dilakukan dan perlu dilihat selepas proses undian peringkat kumpulan dilakukan.

"Bukan mudah untuk pasukan layak ke Piala Dunia B-17 2023 tetapi kita perlu lihat juga faktor undian peringkat kumpulan nanti.

"Jika kita dapat kumpulan yang bagus dan dapat lolos ke suku akhir, pada perlawanan itu apa sahaja boleh berlaku (untuk layak ke peringkat separuh akhir)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 3:46 PM