BARISAN pemain Indonesia ketika bertemu Malaysia. FOTO FB FAM
BARISAN pemain Indonesia ketika bertemu Malaysia. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Pepatah itu sesuai menggambarkan situasi yang melanda skuad bawah 17 tahun (B-17) Indonesia apabila akhirnya timbul penyesalan tidak mengikuti taktikal Malaysia menyimpan 'kuku' pada pertemuan menentang Guam sekali gus mereka rebah menentang pasukan muda negara.

Pengendali skuad B-17 Indonesia, Bima Sakti mengakui kekalahan besar 1-5 kepada Malaysia dalam aksi terakhir kumpulan B Kelayakan Piala Asia Bawah 17 (B-17) adalah kesilapan barisan kejurulatihan yang tidak merehatkan pemain utama ketika bertemu Guam.

Walaupun mereka gembira membelasah Guam 14-1 namun akhirnya terpaksa berduka pada perlawanan terakhir selepas dibelasah Malaysia tanpa belas ihsan sekali gus gagal layak ke Piala Asia B-17 2023.

"Pemain mungkin keletihan dan kesilapan saya juga ketika menentang Guam, kami sepatutnya meletakkan barisan kedua.

"Kami mengetahui Malaysia mempunyai serangan balas yang cukup baik. Walaupun cuba untuk menyekat kemaraan mereka namun barisan pemain ternyata tidak mampu bersaing dengan Malaysia," katanya.

Pada perlawanan malam tadi skuad kendalian Osmera Omaro mempamerkan taring mereka apabila membelasah Indonesia 5-1 pada perlawanan terakhir kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 di Stadium Pakansari.

Dua jaringan pasukan negara disumbangkan Arami Wafiy manakala Zainurhakimi ZainAnjasmirza dan Afiq Danish Zulkifli masing-masing menyumbat satu gol.

Gol saguhati pasukan tuan rumah pula dijaringkan Arkhan Kaka Putra pada masa tambahan separuh masa kedua.

Sementara itu, Osmera mengakui skuad Harimau Muda menyimpan kuku ketika menentang Guam berikutan pungutan mata pada perlawanan bertemu pasukan itu tidak diambil kira.

Walaupun, tindakan itu dikritik penyokong bola sepak tempatan selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 namun sebenarnya keputusan itu cukup bijak apabila barisan pemain utama mampu beraksi lebih baik ketika menentang Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia sekali gus muncul juara kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 3:09 PM