AKSI pemain negara ketika menentang UAE. FOTO FAM
AKSI pemain negara ketika menentang UAE. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara akhirnya menunjukkan kekuatan sebenar mereka apabila membenam Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 di pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia, sebentar tadi.

Jelas sekali, barisan pemain muda negara menunjukkan taring mereka apabila mendahului UAE hasil jaringan Arami Wafiy Mohamad Zakimi dalam masa kecederaan babak pertama.

Muhammad Anjasmirza Saharudin kemudian mengukuhkan kedudukan buat skuad muda negara apabila meledak gol selepas enam minit babak kedua bersambung.

Skuad negara bagaimanapun berdepan detik cemas apabila UAE bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Saeed Amer Mohammad dan Abdulaziz Mohamed Almarzooqi pada minit ke-76 dan 84.

Ketika perlawanan seakan bakal berakhir dengan keputusan seri, Faris Danish muncul wira Malaysia apabila dia menyumbang gol kemenangan pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menjadi pengubat duka buat skuad negara selepas sekadar seri 1-1 berdepan Guam, Rabu lalu yang menyaksikan mereka terlepas mata penting.

Seterusnya, skuad negara perlu menewaskan tuan rumah, Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B di gelanggang sama, Ahad ini untuk muncul juara kumpulan dan meraih slot ke pusingan akhir tahun depan.

Kejayaan menundukkan UAE meletakkan Malaysia di kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul tujuh mata, namun kedudukan itu boleh berubah sekiranya Indonesia mengutip mata berdepan Palestin, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 7:47 PM