BARISAN pemain Selangor meraikan kejayaan menewaskan Melaka. FOTO Selangor FC
BARISAN pemain Selangor meraikan kejayaan menewaskan Melaka. FOTO Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe tampak lulus ujian pertama apabila berjaya memacu skuad kendaliannya menundukkan Melaka United 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Kelana Jaya, malam tadi.

Cheng Hoe yang dilantik minggu lalu dan memulakan tugasnya secara rasmi pada Isnin lalu pastinya lega selepas melihat anak buahnya mengumpul tiga mata penuh di depan penyokong sendiri.

Dalam aksi itu, skuad Red Giants tidak menunggu lama apabila memimpin aksi menerusi tandukan terbang Nor Hakim Hassan di minit ke-16 selepas memanfaatkan hantaran lintang Hein Htet Aung.

Tuan rumah terus mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua hasil rembatan Mukhairi Ajmal dari luar kotak penalti yang tidak dicabar pertahanan pelawat di minit 32.

Mukhairi hampir menambah gol namun sepakan percumanya di hujung babak pertama berjaya ditepis Norazlan Razali.

Melaka yang turun tanpa seorang pun tonggak import tampil lebih kemas di lima minit awal separuh masa kedua dengan anak didik Asri Ningal hampir meledak gol hasil percubaan Wan Zaharul Nizam namun gagal temui sasaran.

Penyerang import Selangor, Herlison Caion mensia-siakan peluang untuk mencetak nama apabila percubaannya mudah dihalang Norazlan di minit 63.

Tiga minit kemudian gawang Melaka bocor lagi dan kali ini ketua pasukan tuan rumah, Brendan Gan meledak selepas menyambut tandukan Caion yang mendapat hantaran lambung Aliff Haiqal.

Berbaki 16 minit untuk tamat, Melaka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Wan Zaharul Nizam dilayangkan kad merah selepas dia dilihat dengan sengaja menyiku pertahanan Sharul Nazeem.

Tuan rumah memanfaatkan kelebihan itu apabila Brendan meledak gol kedua peribadinya di minit 78 sebelum Caion menyempurnakan sepakan penalti di hujung permainan buat Selangor meraikan malam ini dengan penuh kegembiraan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 11:19 PM