CHENG Hoe (dua dari kanan) berkata banyak lagi kerja rumah yang perlu dilakukan. FOTO Ihsan Selangor FC
CHENG Hoe (dua dari kanan) berkata banyak lagi kerja rumah yang perlu dilakukan. FOTO Ihsan Selangor FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemenangan sulung pengendali baharu Selangor FC Tan Cheng Hoe dengan menumpaskan Melaka United menerusi jaringan besar belum cukup membuatkan jurulatih terbabit 'tersenyum lebar'.

Cheng Hoe berkata, perlawanan menentang Melaka United itu adalah permulaan kepada beliau dalam usaha memperbaiki dan memantapkan lagi pasukan untuk mengharungi baki saingan Liga Super dan perlawanan Piala Malaysia.

"Satu permulaan yang baik untuk pasukan tetapi ada lagi penambahbaikan yang boleh ditunjukkan pemain di sebalik keyakinan diperolehi atas kemenangan ini. Tetapi banyak lagi kerja rumah yang perlu dilakukan supaya kita jadi bertambah baik.

"Kita pun tak sangka boleh menang besar (5-0) dan saya rasa kalau pemain diberi lebih banyak masa, mereka boleh tingkatkan lagi permainan. Apa yang penting pemain dapat terus mengekalkan fokus mereka," katanya.

Pada aksi malam tadi menyaksikan Cheng Hoe lulus ujian pertama apabila berjaya memacu skuad kendaliannya menundukkan Melaka United 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Kelana Jaya.

Cheng Hoe yang dilantik minggu lalu dan memulakan tugasnya secara rasmi pada Isnin lalu pastinya lega selepas melihat anak buahnya mengumpul tiga mata penuh di depan penyokong sendiri.

Mereka mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi penyudah Nor Hakim Hassan pada minit ke-16 dan rembatan kencang Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-32.

Tuan rumah terus berpesta pada babak kedua apabila Brendan Gan meledak dua gol masing masing pada minit ke-66 dan ke-78 sebelum Caion melengkapkan kemenangan bergaya mereka dengan gol kelima menerusi sepakan penalti pada minit ke-90.

Pada masa sama, bekas pengendali Kedah itu turut menghamburkan pujian kepada pemain muda Gergasi Merah yang memberikan persembahan yang kemas apabila turut memainkan peranan dalam mencetus kemenangan besar itu.

"Saya rasa pemain muda berbakat ini perlu terus diberikan galakan dan keyakinan supaya mereka boleh menuju ke satu tahap yang lebih tinggi.

"Saya harapkan mereka dapat terus konsisten dalam setiap perlawanan yang diturunkan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 3:54 PM