AKSI antara Selangor FC dan Penang FC sebentar tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Selangor FC dan Penang FC sebentar tadi. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Dua pemain gantian Selangor FC berjaya mencipta impak luar biasa apabila kemasukan tonggak terbabit membantu skuad Red Giants membenam Penang FC dengan 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.

Kemasukan Shahrel Fikri Md Fauzi dan Syahir Bashah di pertengahan babak kedua berjaya membantu Selangor untuk meraih tiga mata penuh.

Malah, layangan kad merah kepada pemain Penang, Ahmad Syukri Hamid di minit 68 turut menyumbang kepada kemenangan tuan rumah itu.

Dalam aksi itu, anak buah Michael Feichtenbeiner berpeluang membuka 'akaun' jaringan pada minit ke-17 namun dua percubaan berturut-turut menerusi Brendan Gan dan Quentin Cheng tidak menemui sasaran.

Di minit 28, penyerang utama Selangor, Herlison Caion menghadirkan situasi cemas di kubu pelawat namun sepakan gunting dilakukan pemain dari Brazil itu melambung tinggi.

Aksi di babak kedua lebih rancak, dengan Penang hampir menewaskan penjaga gol tuan rumah, Samuel Somerville namun percubaan Hilal Alhelwe sedikit tersasar di minit ke-50.

Memasuki minit 68, Penang terpaksa terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Syukri melakukan terjahan keras dari belakang ke atas Mukhairi Ajmal sekaligus meraih kad kuning kedua untuk diarah keluar padang.

Percaturan Feichtenbeiner memasukkan Shahrel akhirnya membuahkan hasil apabila dia meledak gol di minit 73 selepas memanfaatkan hantaran cantik Alexander Agyarkwa dari tengah padang.

Impak sama turut dihadirkan Syahir apabila dia yang baru 30 saat masuk menggantikan Brendan melakukan rembatan dari luar kotak penalti di minit 79 untuk menoktahkan kemenangan milik Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 11:13 PM