LEWANDOWSKI menjaringkan dua gol. FOTO EPA
LEWANDOWSKI menjaringkan dua gol. FOTO EPA
Reuters

Barcelona: Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski meneruskan prestasinya yang tidak pernah puas di depan gawang dengan menjaringkan dua gol dan Memphis Depay turut mencetak nama sebagai penjaring ketika pasukan Catalan itu menang 3-0 ke atas Elche.

Kemenangan itu membawa Barca melonjak ke tangga teratas dengan meraih 16 mata daripada enam perlawanan.

Bagaimanapun, Real Madrid yang mengumpul 15 mata boleh kembali ke puncak jika menang di tempat lawan menentang Atletico Madrid awal pagi esok.

Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez menggilirkan skuadnya untuk kunjungan menentang pasukan tercorot liga, membuat lima pertukaran dengan pasukan yang tewas 0-2 kepada Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara.

Tugas pasukannya dipermudahkan apabila pertahanan tengah Elche, Gonzalo Verdu dilayangkan kad merah pada minit ke-14 kerana menarik baju Lewandowski.

Sejak saat itu, kemenangan liga kelima berturut-turut untuk Barca semakin terbuka dan ia terbukti.

"Kami mempunyai skuad yang besar, semua orang berlatih dengan baik dan bersedia untuk bermain apabila pasukan memerlukan mereka, dan itu yang penting," kata Xavi.

Lewandowski membuka jaringan pada minit ke-34, hadir jauh ke dalam kawasan penalti untuk menyempurnakan hantaran lintang Alejandro Balde dan menjaringkan gol untuk perlawanan kelima berturut-turut dalam LaLiga.

Memphis menjaringkan gol hebat untuk menggandakan pendahuluan Barcelona pada minit ke-41.

Lewandowski menjaringkan gol kedua permainannya pada awal separuh masa kedua, menerkam masuk ke dalam kawasan penalti selepas Memphis berhempas pulas untuk memenangi kembali bola.

Athletic Bilbao menduduki tempat ketiga selepas adik-beradik, Inaki dan Nico Williams masing-masing menjaringkan gol ketika menang 3-2 ke atas Rayo Vallecano.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 8:55 AM