USAHA Cik Nis buka mata ramai belajar cara berkomunikasi dengan golongan kurang upaya.
USAHA Cik Nis buka mata ramai belajar cara berkomunikasi dengan golongan kurang upaya.
Muhamaad Razis Ismail

DILAHIRKAN dengan masalah pendengaran, Anissa Jailani, 26, amat memahami cabaran yang terpaksa dihadapi Orang kurang upaya (OKU) dalam kehidupan harian.

Antara kekangan yang sering dihadapi OKU termasuk kesukaran untuk berkomunikasi kerana masih ramai yang tidak menguasai bahasa isyarat.

Menyedari masalah itu, Anissa atau lebih dikenali Cik Nis menggunakan platform media sosial iaitu TikTok untuk mengajar orang ramai secara percuma cara berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Bermula sekadar suka-suka untuk mengisi lapang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021, kini anak bongsu daripada dua beradik ini sudah memiliki 654,000 pengikut dan mendapat 9.2 juta tanda suka di akaun TikTok miliknya.

Sejak itu, rezeki Cik Nis yang bekerja sebagai operator kilang, semakin bertambah apabila mendapat banyak tawaran membuat ulasan produk kecantikan, makanan, tudung dan kedai makan sekali gus dapat menjana pendapatan sampingan.

Malah, siapa sangka anak jati Perak ini pernah berlakon sebagai heroin di sebuah telemovie Cinta Yang Ternoktah pada 2022.

Cik Nis berkata, dia memilih untuk mengetengahkan kandungan berkenaan bahasa isyarat untuk memberi pendedahan kepada orang ramai untuk berkomunikasi dengan OKU.

Katanya, melalui penguasaan bahasa isyarat ini, diskriminasi dan stereotaip terhadap OKU dapat dibendung dan orang ramai akan lebih memahami golongan ini.

"Sebelum ini, saya berdepan untuk berkomunikasi dengan orang normal kerana masih ramai tidak dapat menguasai bahasa isyarat. Kadang kala saya terpaksa menaip perkataan di telefon atau menulis di buku.

"Malah, saya pernah didiskriminasi bakal majikan yang menolak permohonan untuk bekerja di bahagian katering kerana masalah pendengaran.

"Menyedari masalah itu, saya menggunakan platform media sosial untuk berkongsi ilmu berkenaan bahasa isyarat dengan ayat yang ringkas dan mudah seperti memberi salam, ucapan terima kasih dan sebagainya.

AKTIF menggunakan media sosial untuk berkongsi mengenai bahasa isyarat.
AKTIF menggunakan media sosial untuk berkongsi mengenai bahasa isyarat.

"Alhamdulillah, ramai yang berikan maklum balas positif dan gembira dengan pengisian bermanfaat yang saya kongsikan," katanya.

Menurutnya, pada awal pembabitannya sebagai penyedia kandungan, ramai menyangka dia adalah seorang guru yang mengajar bahasa isyarat di sekolah.

"Bukan itu sahaja, ada sesetengah warganet yang menuduh saya normal dan hanya berlakon sebagai orang pekak untuk meraih simpati orang ramai.

"Biarpun begitu, dakwaan negatif itu sama sekali tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkongsi ilmu dengan orang ramai sehingga ke hari ini.

"Saya seronok dan puas apabila semakin ramai yang sedar keperluan menguasai bahasa isyarat untuk lebih memahami OKU," katanya.

Jelasnya sebagai penyedia kandungan OKU dia menerima pelbagai maklum balas terhadap usahanya menghasilkan kandungan di media sosial.

"Saya boleh katakan kebanyakan warganet memberi semangat untuk terus menghasilkan kandungan bermanfaat ini untuk membantu lebih ramai orang awam.

"Tidak dinafikan, saya turut tidak terlepas daripada menerima komen negatif termasuk menyatakan 'pekak pun menyusahkan orang je.'

"Biarpun begitu, komen seperti ini tidak mematahkan semangat untuk terus memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan kepentingan menguasai bahasa isyarat," katanya.

Tambahnya, kini dia melihat sudah ramai OKU yang berani ke hadapan menjadi penyedia kandungan di media sosial.

"Mereka dapat buktikan dengan kekurangan, mereka juga boleh berjaya seperti orang lain.

"Saya berharap lebih ramai OKU memanfaatkan media sosial untuk berkongsi pelbagai kandungan yang menarik dan bermanfaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 7:01 AM