PENYERANG Poland, Robert Lewandowski (kanan) dan Presiden Barcelona, Joan Laporta memegang jersi selepas sidang media memperkenalkan pemain itu di Fort Lauderdale, Florida. FOTO AFP
PENYERANG Poland, Robert Lewandowski (kanan) dan Presiden Barcelona, Joan Laporta memegang jersi selepas sidang media memperkenalkan pemain itu di Fort Lauderdale, Florida. FOTO AFP
AFP

Fort Lauderdale, Florida: Robert Lewandowski secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain Barcelona, hari ini, dan menegaskan dia masih lapar untuk meneruskan rekod jaringan cemerlang.

Penyerang Poland itu yang ditandatangani dari Bayern Munich dengan harga sekitar 50 juta euros (RM226.99 juta) diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Barca bersama presiden kelab, Joan Laporta.

Majlis itu diadakan sehari selepas gergasi La Liga itu memulakan siri empat perlawanan jelajah Amerika Syarikat (AS) dengan membelasah kelab milik David Beckham, Inter Miami, 6-0, semalam.

Lewandowski, 33, yang meninggalkan juara Jerman itu berikutan kekecohan berhubung tawaran kontrak baharu selain tidak setuju dengan taktikal jurulatih, Julian Nagelsmann, tidak sabar untuk turun beraksi.

Lewandowski menyertai Bayern pada 2014 dan menjaringkan 344 gol dalam 375 aksi kompetitif serta memecahkan rekod jaringan semusim di Bundesliga.

Dia boleh membuat kemunculan sulung apabila Barca menentang musuh utama, Real Madrid di Las Vegas, hujung minggu ini dan berkata: "Kami bekerja keras untuk mencapai saat ini dan akhirnya kami berada di sini.

"Saya sentiasa laparkan kejayaan dan memiliki mentaliti mahu menang. Ini cabaran baharu untuk saya dan saya melihat pasukan ini memiliki potensi hebat.

"Pasukan ini penuh kualiti dan saya akan melakukan yang terbaik untuk kelab. Saya sudah bersedia."

Lewandowski menyertai Barcelona ketika pasukan itu berdepan krisis kewangan hingga hampir mencapai satu billion euros (RM4.54 bilion).

Penyerang itu adalah pemain baharu keempat kelab terbabit selepas pemain tengah Ivory Coast, Franck Kessie dari AC Milan; pemain pertahanan Chelsea, Andreas Christensen secara ejen bebas dan pemain sayap Brazil, Raphinha dari Leeds United.

"Kami melakukan yang terbaik untuk penstrukturan semula," kata Laporta.

"Kami ada banyak kerja untuk menjayakannya. Harapan cukup tinggi buat anda (Lewandowski). Anda adalah bintang bola sepak."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 9:36 AM