PENJAGAAN haiwan peliharaan eksotik perlu dititikberatkan.
PENJAGAAN haiwan peliharaan eksotik perlu dititikberatkan.
Muhamaad Razis Ismail


Isu penjagaan, penderaan dan pengabaian haiwan peliharaan terutama kucing sering mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Hakikatnya, ramai yang terlepas pandang bahawa haiwan eksotik kecil seperti hamster, landak mini, tikus belanda dan tupai terbang turut berdepan dengan masalah yang sama.

Kebiasaannya sisi comel haiwan ini sering diketengahkan namun sebenarnya banyak kes ia dipelihara dengan teruk atau dibuang di jalanan namun kurang mendapat perhatian ramai.

Menyedari perkara itu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Haiwan Bukan Permainan ditubuhkan untuk memberi kesedaran berkenaan penjagaan haiwan peliharaan eksotik kecil supaya dapat dijaga dengan baik dan beretika oleh rakyat Malaysia.

Presidennya, Aisyah Mardhiah Azura berkata, NGO terbabit bermula dengan menubuhkan kumpulan di Facebook pada tahun 2019 untuk masyarakat berkongsi atau bertanya mengenai haiwan peliharaan kecil mereka.

"Kami adalah sukarelawan yang bertindak sebagai suara untuk haiwan-haiwan kecil yang tidak bernasib baik ini.

Pada masa sama kami aktif menyediakan maklumat yang berteraskan kajian saintifik terbitan veterinar dan bekerjasama rapat dengan veterinar-veterinar tempatan untuk proses merawat haiwan yang diselamatkan," katanya.

Menurutnya, banyak kes membabitkan haiwan eksotik yang dipelihara di dalam sangkar kecil dan diperlakukan seperti objek serta menjadi bahan gelak ketawa sebelum dibuang apabila sudah tidak diperlukan.

"Hanya kerana haiwan ini kecil, orang ramai fikir ia 'senang' dijaga sedangkan setiap spesies haiwan itu ada keperluan dan kemahuan uniknya tersendiri. Malangnya, ramai rakyat Malaysia yang membela dengan mengikut kepala mereka sendiri.

"Ingatlah bahawa haiwan itu walaupun kecil, ia adalah makhluk hidup yang bernyawa, bukannya objek permainan yang boleh ditukar ganti," katanya.

Tambahnya, misi Haiwan Bukan Permainan adalah untuk memberi kesedaran dan didikan kepada rakyat Malaysia betapa pentingnya menjaga haiwan peliharaan dengan betul, walaupun haiwan itu kecil.

SAMBUTAN menggalakkan yang diberi masyarakat.
SAMBUTAN menggalakkan yang diberi masyarakat.

PELBAGAI program dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan haiwan.
PELBAGAI program dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan haiwan.

KANAK-kanak turut diberi pendedahan berkenaan penjagaan haiwan eksotik.
KANAK-kanak turut diberi pendedahan berkenaan penjagaan haiwan eksotik.

"Pihaknya aktif menjalankan pelbagai aktiviti untuk memupuk rasa amanah dan tanggungjawab rakyat Malaysia terhadap haiwan peliharaan bagi membanteras pembuangan haiwan peliharaan eksotik kecil.

"Pada masa yang sama, kami menyelamat haiwan dibuang pemilik yang tidak bertanggungjawab, rawat dan seterusnya menjalankan adopsi haiwan yang diselamatkan," katanya.

Mardhiah berkata, mereka aktif di media sosial dengan berkongsi berkenaan penjagaan haiwan eksotik yang betul seperti jenis sangkar, diet dan pengendalian yang berteraskan kajian saintifik sesuatu spesies haiwan.

"Kami juga memberi sokongan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dengan menyertai program yang membabitkan kebajikan haiwan.

Malah kami juga mempamerkan contoh sangkar yang sesuai untuk memelihara hamster, landak mini dan tikus belanda supaya masyarakat boleh melihat sendiri perbezaan sangkar yang teruk dan sangkar yang memenuhi piawaian.

"Selain itu, kami menganjurkan acara tahunan iaitu persembahan pertandingan haiwan peliharaan eksotik. Pertandingan ini unik kerana kami menerapkan nilai-nilai yang mendokong misi kami. Kategori-kategori pertandingan kami bukanlah seperti pertandingan lain yang menilai rupa kecantikan haiwan itu semata-mata, sebaliknya kami juga menilai penjagaan sangkar dan memupuk rakyat untuk adopsi daripada membeli," katanya.

Beliau berharap usaha yang dilaksanakan pihaknya dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk lebih memberi perhatian berkenaan penjagaan haiwan eksotik ini.

"Saya nasihatkan sebelum pelihara haiwan, tanya kepada diri sama ada anda mampu menjaganya dengan baik atau sebaliknya.

"Ingatlah apabila anda membela haiwan apa sekali pun, hormati keperluan dan kemahuan mereka. Jangan membela hanya mengikut keselesaan dan nafsu anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 6:49 AM